PEMANDANGAN kota Islamabad dari atas bumbung bangunan Centaurus.
TASIK Saif-al-Malook di Lembah Kaghan.
PEKERJA di Rawalpindi sudah biasa membawa barangan di atas kepala.
SUKAN pancang tenda di Islamabad.
AWAIS Yaqub
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Berkeluasan 1,046 kilometer sepanjang Laut Arab dan Teluk Oman di selatan, Pakistan bersempadan dengan India di timur, Afghanistan di barat, Iran di barat daya dan China di timur laut.

Kaya dengan pemandangan indah dan keunikan budaya, pelbagai tarikan dinikmati daripada kejatuhan Tamadun Lembah Indus seperti Mohenjo-daro, Harappa dan Taxila sehingga ke stesen bukit Himalaya yang menjadi tumpuan pelancong bagi acara sukan musim sejuk.

Beberapa puncak gunung yang ketinggiannya lebih daripada 7,000 meter pastinya menarik kedatangan pengembara dari seluruh dunia terutama Gunung K2.

Sebahagian utara Pakistan lokasi berdirinya kubu lama, seni bina purba serta Lembah Hunza dan Chitral yang juga rumah kepada komuniti Islam Animist Kalash.

Wilayah Khyber Pakhtunkhwa pula dipenuhi legenda dan sejarah berharga manakala Punjab memiliki tapak pertempuran Alexander di Sungai Jhelum dan bandar bersejarah Lahor.

Pusat kebudayaan Pakistan dilihat menerusi seni bina Mughal seperti di Masjid Badshahi, Taman Shalimar, Makam Jahangir dan Pelabuhan Lahore.

Justeru, tidak hairanlah apabila keindahan geografi Pakistan yang dikelilingi pergunungan, seni bina lama bersejarah dan keunikan budayanya menjadi tarikan jurugambar dari serata dunia untuk mengabadikan potret di negara itu.

Pameran fotografi ‘Gambaran Pakistan oleh Awais Yaqub’ membawa perspektif negara itu kepada masyarakat Malaysia bagi memperlihatkan keindahan yang tidak pernah diungkapkan dengan kata-kata.

Paparan 70 lensa foto memberi banyak gambaran tradisi dan budaya rakyat Pakistan antaranya di Islamabad, Cholistan, Multan dan Lahore.

Pameran ini turut menyingkap pengembaraan Awais Yaqub dalam mencari erti kesedaran yang diperoleh melalui penyatuannya bersama manusia serta alam persekitarannya melalui fotografi.

Awais cenderung memilih minat yang dipupuk sejak kecil sebagai kerjayanya berlainan dengan sarjana yang diperolehnya. Malah, beliau pernah merangkul anugerah blog fotografi terbaik pada Anugerah Blog oleh CIO Pakistan.

Lahir pada 1984 dan dibesarkan di Islamabad, beliau membuktikan usahanya tidak pada penghasilan foto semata-mata, tetapi mampu menyelami kehidupan sebenar penduduk Pakistan, mengimbau kenangan serta menghargai norma untuk dipersembahkan kepada dunia.

Selain Malaysia, hasil fotografi beliau juga dipamerkan di galeri seni di India, United Kingdom dan negara kelahirannya, Pakistan.

INFO

Gambaran Pakistan oleh Awais Yaqub

- Artis: Awais Yaqub

- Jumlah karya: 70 foto

- Lokasi: Galeri Terbuka, Muzium Kesenian Islam Malaysia, Jalan Lembah Perdana, 50480 Kuala Lumpur

- Tarikh: Sekarang sehingga 17 Januari 2016

- Waktu: 10 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 03-2274 2020 / 03-2274 0529

- Web: www.iamm.org.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 12:30 PM