Alat vape dan perisanya kini boleh dibeli dengan mudah. - Foto NSTP (Fail)

Alor Setar: Kerajaan disaran mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape) dan shisha stick agar sejajar dengan keputusan hukum menghisap vape dan shisha stick adalah haram.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, selaras dengan keputusan pengharaman itu, kerajaan juga perlu mengambil kira perkara yang menyumbang kepada aktiviti berkenaan.

Dalam Islam diharamkan arak bukan untuk minum saja malah penjualan, pelesenan, penyediaan, semua diharamkan apabila kita menyumbang," katanya di sini, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu, memutuskan hukum menghisap vape dan shisha stick adalah haram kerana akan menyebabkan berlaku kemudaratan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.

Syeikh Muhamad menjelaskan keputusan itu diambil selepas dibincangkan dengan teliti dan diberi penerangan khusus daripada pihak farmasi, serta berpandu ayat al-Quran.

“Ia hanya mendatangkan kemudaratan khusus kepada generasi yang akan kendalikan urusan pentadbiran negara pada masa akan datang, bukan sahaja orang Islam tapi semuanya," katanya.

Sementara itu Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Mohammad Nazer Mustafa yang turut menyokong sepenuhnya keputusan pengharaman berkenaan berkata, penggunaan vape atau sisha stick dilihat sebagai taktik baharu mengambil dadah.

Berbanding penggunaan suntikan jarum sebelum ini, pengguna boleh memasukkan bahan-bahan terlarang ke dalam perisa-perisa Vape sedia ada seperti ganja, syabu serta nikotin, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 7:41 PM