DIDATANGKAN dalam pelbagai pilihan warna menarik.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Apa gaya pilihan anda kala mahu bersenam? Ada orang tidak kisah mengenai penampilan, asalkan pakaian yang tersarung di badan itu selesa. Namun ada juga yang sedikit ‘cerewet’ mahu trek, kemeja-T, kasut dan tudung yang senada atau harmoni warnanya.

Ya, tidak dinafikan tampil cantik ketika bersukan atau bersenam itu satu kelebihan. Apatah lagi bagi wanita yang sa­ngat pentingkan gaya.

Aktiviti menyihatkan itu tidak membataskan seseorang untuk berfesyen kerana ia pastinya menambahkan lagi keyakinan diri ketika bersenam.

Mencetuskan idea untuk menambah keyakinan diri wanita ketika bersenam serta tampil menawan dalam persalinan yang sesuai, jenama pakaian D fana Shoppe menghasilkan pelbagai pakaian khusus untuk aktiviti sukan dan beriadah.

Menurut pengasas D fana Shoppe, Nurina Mohamed, semua koleksi pakaian riadahnya selesa dan membantu wanita untuk bersenam serta bersukan dengan lebih selesa.

“Koleksi pakaian kami bermula daripada saiz S hingga XXL dan didatangkan dengan pelbagai pilihan warna menarik antaranya merah, hitam, biru, merah jambu, kuning, ungu dan hijau.

“Material yang digunakan adalah daripada kain elastik dan mengikut badan sesuai dalam aktiviti senaman,” katanya.

Nurina berkata, ia juga sesuai digayakan semua lapisan usia bermula daripada 12 tahun dan ke atas mengikut saiz yang bersesuaian.

“Idea menghasilkan pakaian senam ini terhasil apabila saya sendiri sering mencari pakaian yang sesuai untuk bersenam dan pastinya memudahkan lagi pergerakan ketika melakukan aktiviti sihat itu.

“Dengan terhasilnya koleksi pakaian sukan D fana Shoppe ini, diharap dapat membantu golongan wanita yang mencari pakaian sesuai dan selesa untuk disarung ketika aktiviti itu,” ujarnya.

Tambahnya, sambutan yang diterima sehingga kini amat memberangsangkan dan harga yang ditawarkan untuk semua koleksi itu juga berpatutan iaitu RM20 hingga RM150.

“Pengalaman diri sebagai jurulatih kecergasan menyebabkan saya mencipta rekaan baju bersenam ini mengikut ciri diperlukan.

“Dengan memakai persalinan yang tepat serta cantik pasti menaikkan lagi semangat wanita untuk melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Koleksi pakaian itu boleh didapati di Tyiara Fitness & Beauty Spa. Maklumat lanjut berkaitan koleksi boleh didapati dengan melayari laman Facebook D Fana Fitnez atau Instagram @D fana fitnez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 5:13 AM