ZAINAL (kiri) ketika mengendalikan latihan pasukan di padang rumput tiruan MPK 1.
ZAINAL (kiri) ketika mengendalikan latihan pasukan di padang rumput tiruan MPK 1.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kemenangan besar 4-1 bukan jaminan Pahang akan layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Itu kata jurulatih skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan menjelang pertemuan suku akhir kedua dengan LionsXII di Stadium Jalan Besar malam ini.

Zainal berkata, selaku tuan rumah, LionsXII sudah pasti melakukan segala-galanya terutama memperkasakan jentera serangan dalam usaha memburu jaringan bagi mengatasi defisit tiga gol.

Pada masa sama, LionsXII pasti mula menyerang kubu Pahang sebaik wisel permulaan dibunyikan dan ia perlu ditangani dengan sebaiknya oleh pemain terutama bahagian pertahanan, sekali gus mengekang asakan itu bagi mengelak gawang dibolosi.

“Strategi terbaik adalah memastikan semua pemain dapat menjalankan tugas mereka dengan cemerlang walaupun ada perubahan dari segi taktikal pada perlawanan suku akhir kedua ini.

“Apa yang penting adalah pemain mengekalkan disiplin tinggi pada aksi suku akhir kedua ini dan bermain sehingga wisel penamat bagi mengelak kesilapan sama berulang seperti yang dipersembahkan pada suku akhir pertama Selasa lalu.

“Ketika perlawanan seakan berakhir dengan kemenangan 4-0, pemain gagal mengekalkan komitmen hingga membolehkan lawan menjaringkan satu gol pada minit terakhir perlawanan,” katanya.

Zainal berkata, keputusan 4-1 belum lagi selesa dan selamat buat pasukan untuk melangkah ke separuh akhir memandangkan LionsXII bermain di halaman sendiri dan sudah pasti mereka tidak mahu melepaskan peluang itu.

Katanya, dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku dan ia boleh disaksikan pada perlawanan lain iaitu ada pasukan yang menjaringkan dua atau tiga gol dalam masa lima minit.

Bagaimanapun, Zainal berkata, beliau akan membuat sedikit perubahan ke atas barisan yang diturunkan dalam usaha memastikan mereka berjaya melangkah ke separuh akhir.

“Dari segi corak permainan yang dipersembahkan pemain adalah sama, tetapi taktikal termasuk senarai kesebelasan utama juga akan berubah apabila beraksi di tempat lawan.

“Saya cuma mengharapkan semua pemain memberi komitmen tinggi sepanjang tempoh perlawanan kerana prestasi terbaik akan membawa Pahang ke pusingan seterusnya.

“Pada masa sama, segala peluang yang terhidang diharap tidak dipersia-siakan memandangkan lawan dijangka bermain dengan corak pantas,” katanya.

Bagi membiasakan diri beraksi di padang tiruan, Zainal berkata, sesi latihan kini giat dijalankan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Satu di sini, selama dua hari berturut-turut sejak Rabu lalu untuk memastikan anak buahnya benar-benar bersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:00 AM