TUMBUHAN herba tongkat ali dan ginseng yang banyak digunakan sebagai rawatan alternatif untuk ED.
PESAKIT ED hadapi cabaran disebabkan perasaan malu jumpa profesional, lebih gemar guna kaedah tradisional.
Oleh Zaitie Satibi


Lemah tenaga batin atau mati pucuk merujuk kepada ciri-ciri kegagalan alat kelamin lelaki untuk mendapatkan ereksi atau mengekalkan ereksi sehingga mencapai kepuasan dalam hubungan kelamin. Dalam istilah perubatan, masalah ini dikenali sebagai kegagalan ereksi (ED).

Rangsangan seksual lelaki adalah proses yang kompleks dan membabitkan otak, hormon, emosi, saraf, otot serta saluran darah. ED boleh disebabkan oleh masalah dengan mana-mana bahagian berkenaan. Namun begitu, tekanan dan kesihatan mental boleh menyebabkan atau memburukkan lagi masalah kelelakian itu.

Kadangkala kombinasi masalah fizikal dan psikologi mengakibatkan ED. Punca biasa bagi ED disebabkan masalah fizikal seperti sakit jantung, saluran darah tersumbat, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, sindrom metabolik, merokok, alkohol berlebihan dan gangguan tidur.

Menghidap penyakit tertentu juga menyumbang ED seperti Parkinson, Multiple Sclerosis, Peyronie (pembentukan parut tisu dalam zakar).

Malah, pengambilan ubatan tertentu, rawatan kanser prostat atau kelenjar prostat serta menjalani pembedahan atau mengalami kecederaan yang menjejaskan pelvik dan tulang belakang juga antara punca fizikal dalam ED.

Otak juga memainkan peranan penting dalam mencetuskan keadaan fizikal yang menyebabkan ereksi bermula dengan perasaan. Beberapa perkara yang boleh mengganggu perasaan untuk melakukan hubungan kelamin sehingga memburukkan masalah ED adalah kemurungan, kebimbangan, tekanan perasaan, masalah perhubungan dengan pasangan akibat tekanan dan kurang komunikasi dengan pasangan.

Masalah ED tidak patut dipandang remeh kerana ia bukan sekadar masalah lelaki saja berikutan kesannya turut dirasai pasangan sehingga menjejaskan hubungan. Terdapat pelbagai kaedah rawatan dan pesakit hanya perlu berunding dengan doktor mengenai bentuk rawatan yang perlu dilakukan.

Namun, merawat ED dikatakan banyak cabarannya berikutan kebanyakan pesakit enggan berjumpa pakar untuk berbincang mengenai masalah dialami. Disebabkan itu, ramai pesakit lebih gemar menggunakan kaedah tradisional sama ada ubatan atau urutan yang tiada kawalan walaupun perubatan Barat sudah terbukti keberkesanannya menerusi kajian saintifik.

Pengarah Program Kesihatan Seksual dan Reproduktif Lelaki, Jabatan Urologi, Pusat Kanser Memorial Sloan Kettering, Dr John P Mulhall berkata, pesakit ED sebenarnya menghadapi dilema mendapatkan rawatan dan mereka sentiasa tertanya-tanya bagaimana ingin merawat masalah, kepada siapa ingin berjumpa, apakah jenis rawatan, adakah ia normal dan di mana boleh mendapatkan maklumat mengenai ED.

“Kebanyakan pesakit ED menghadapi cabaran ini kerana mereka cuba mengelak disebabkan perasaan malu sehingga tidak mahu menemui pakar penjagaan kesihatan dan menggunakan saluran yang betul.

“Pesakit juga enggan menerima hakikat mengalami ED kerana persepsi kemampuan seksual adalah lambang kejantanan dan akan hilang harga diri jika lemah tenaga batin.

“Ini menyebabkan pesakit yang menafikan diri mereka menghadapi ED lebih gemar mengabaikan masalah dihadapi daripada menemui pakar untuk berbincang. Malah, pesakit juga lebih gemar menggunakan jalan pintas dengan membeli sendiri ubat merawat ED di Internet tanpa medapatkan nasihat profesional.

“Dengan melakukan rawatan sendiri, pesakit sebenarnya berpotensi mengundang masalah kesihatan lain yang lebih serius berkaitan ED. Ini kerana, kebanyakan ubatan yang dibeli tanpa nasihat dan preskripsi pakar biasanya adalah ubat herba tradisional yang sebenarnya tidak merawat atau menangani masalah kesihatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan mengenai Dilema Pesakit dan Menangani Kebimbangan Terapi Lain Dalam Pengurusan ED anjuran Pfizer Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Mulhall berkata, antara sikap pesakit yang menyebabkan mereka tidak mahu berjumpa doktor seperti mereka lebih percaya rakan yang kononnya tahu perawat tradisional yang boleh memulihkan, percaya pada penggunaan herba kerana bersifat semula jadi pada tubuh, lebih suka mencari penyelesaian dalam Internet dan laman web jual ubat kuat yang menawarkan potongan harga.

“Rawatan alternatif adalah rawatan kesihatan yang tidak diklasifikasi sebagai piawaian amalan perubatan Barat. Suplemen alternatif termasuk tumbuhan herba, makanan tambahan nutrisi dan akupunktur.

“Dalam kajian Medline Search Papers 2013 mendapati penggunaan tumbuhan herba bagi merawat ED adalah sangat lemah berbanding ubat terkawal bahan aktif perangsang seks lelaki seperti sildenafil, tadalafil dan verdanafil.

“Terapi ubatan herba mungkin menimbulkan potensi risiko kerana bahan semula jadi tidak selalunya bermaksud selamat kerana terlalu sedikit bukti mengesahkan keberkesanannya. Malah, ubatan herba juga berpotensi mendatangkan bahaya kepada organ lain tubuh dengan penggunaan berterusan.

“Apa yang berlaku, sebahagian tumbuhan herba mengandungi perencat fosfodiesterase jenis 5 (PDE5) sama seperti dalam kelas ubat terkawal perangsang seks lelaki menyebabkan mengapa sesetengah produk herba tradisional merawat tenaga batin dikatakan berfungsi,” katanya.

Perencat PDE5 menyebabkan pelebaran diameter pembuluh darah ketika otot di dinding pembuluh darah mengendur dalam zakar dan paru-paru dengan mengurai kitaran guanosine monophosphate (cGMP) yang menyebabkan pemanjangan tindakan mediator pelebaran diameter pembuluh darah itu termasuk nitrik oksida (NO).

Tindakan utama perencat PDE5 adalah untuk menguat­kan ereksi zakar dan mengurangkan tekanan vaskular paru-paru. Perencat PDE5 juga mempunyai kesan yang kecil terhadap vaskulatur sistemik (aliran darah).

Empat jenis perencat PDE5 yang diluluskan dan digunakan merawat ED adalah sildenafil, tadalafil, vardenafil dan avanafil dan kesemuanya disyorkan untuk diambil secara oral sejam hingga empat jam sebelum melakukan hubungan kelamin. Penggunaan pula tidak lebih sekali sehari dan tidak boleh digunakan wanita.

Sildenafil, tadalafil, verdanafil dan avanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan ED yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi daripada seorang doktor.

Kesan sampingan ubatan ini adalah sangat bahaya jika diambil tanpa pengawasan doktor seperti serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

“Ujian dilakukan makmal Pentadbiran Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat terhadap 26 produk herba mendapati kehadiran analog sintetik perencat PDE5 seperti sildenafil citrate dan verdanafil hydrochloride trihydrate, manakala 15 produk herba juga mengandungi perencat PDE5.

“Lebih bahaya apabila ubatan herba dicampur dengan sildenafil palsu dan jualan haram menerusi Internet banyak menyumbang kepada masalah ini. Ubatan palsu mungkin mengandungi bahan seperti sukrosa, cat, kapur, asid borik, amphetamine, dakwat pencetak, pelarut toksik dan pulpa kayu

“Mengikut laporan European Alliance for Access to Safe Medicines (EAASM) pada Jun 2008, dianggarkan 95.5 peratus farmasi dalam talian beroperasi secara haram, lebih 90 peratus farmasi dalam talian membekalkan ubatan terkawal tanpa pre­skripsi anggaran 44 hingga 90 peratus ubatan palsu dijual melalui Internet dan 67 peratus lelaki membeli ubatan ED tanpa preskripsi melalui Internet,” katanya.

Beliau berkata, jualan ubat palsu merawat ED lebih meluas kerana ia adalah penyakit yang lazim. Dianggarkan 50 peratus lelaki berusia 40 tahun di Amerika Syarikat mengalami ED. Begitu juga di Malaysia apabila bilangan pesakit ED bertambah dan ini menyebabkan pasaran yang besar untuk pesakit ED.

“Pesakit ED juga mudah menjadi sasaran penjual ubat perangsang seks. Walaupun pesakit ED juga mengalami tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi tetapi mereka enggan menemui pakar kerana tidak mengalami kesan negatif akibat pengambilan ubatan terbabit.

“Jualan ubatan perangsang seks adalah perniagaan yang menguntung­kan apabila lelaki sanggup membelanjakan banyak duit untuk perubatan yang meningkatkan kejantanan mereka, prestasi seksual, mengurangkan keresahan dan hubungan bersama pasangan berjalan lancar,” katanya.

Katanya, kebanyakan produk perangsang seks berkenaan tidak pernah dibuktikan boleh membantu ereksi. Malah, ubatan terbabit juga mengandungi sebatian yang tidak disebut pada label dan mengandungi bahan berbahaya. Motivasi dalam industri ini adalah wang dan oleh itu adalah penting untuk kita mengadakan kempen yang menumpukan pendidikan kepada orang ramai mengenai isu ini.

Sementara itu, Pakar Perubatan Produk, Pfizer Malaysia, Dr Salvinder Singh berkata, lelaki di Malaysia mengambil berat mengenai masalah kesihatan mereka secara serius terutama bila berdepan dengan masalah kesihatan seksual. Tetapi, mereka lebih suka mendapat­kan suplemen terlebih dulu berbanding menemui pakar kerana percaya cara ini dapat menyelesaikan masalah.

Menurutnya, satu kaji selidik kuantitatif mengenai sikap lelaki Malaysia terhadap ED dan rawatan tradisonal dijalankan Pfizer Malaysia pada pertengahan tahun ini kepada 202 responden lelaki berusia 25 hingga 65 tahun melalui temubual secara langsung selama 45 minit.

“Kesimpulan kajian mendapati 37 peratus lelaki Malaysia berpendapat bahawa ubatan herba adalah lebih sihat kepada tubuh mereka berbanding perubatan Barat, hanya 23 peratus saja mempertimbangkan untuk mendapatkan rundingan scera terus daripada doktor sebagai sumber rujukan maklumat, manakala 52 peratus mendapat maklumat menerusi laman web kesihatan dan 43 peratus lagi mendapat sumber maklumat daripada laman web menjual produk.

“Sebanyak 41 peratus pula percaya kepada cakap rakan atau ahli keluarga. Apabila lelaki berkenaan tidak mendapat maklumat yang betul, mereka berpotensi menggunakan saluran yang salah dan terdedah kepada ubatan perangsang seks palsu.

“Ditanya apa yang menghalang responden ini daripada menggunakan perubatan Barat, 55 peratus percaya mereka tidak memerlukan ubatan berkenaan, 48 peratus khuatir dengan kesan sampingan, manakala 42 peratus lagi melaporkan bahawa mereka mempunyai pengetahuan sedikit mengenai jenis ubatan Barat,” katanya.

Dr Salvinder berkata, sebanyak 71 peratus responden tidak mahu menemui doktor jika ada masalah ED kerana percaya ED adalah bukan masalah perubatan, 68 peratus takut untuk membincangkan masalah seksualiti mereka kerana bimbang memalukan doktor dan 44 peratus lagi menemui pakar urologi tetapi tidak menyentuh menenai ED kerana malu.

“Namun, kesedaran responden mengenai perencat PDE5 adalah tinggi cuma penggunaannya sangat sedikit apabila hanya lima peratus mengaku menggunakannya pada masa lalu. Keseluruhannya, kesedaran dan penggunaan Tongkat Ali dalam meningkatkan kemampuan seksual adalah tertinggi di Malaysia. Selebihnya menggunakan ginseng, multivitamin, kopi dan jus,” katanya.

Beliau berkata, dalam kaji selidik itu juga kira-kira 57 peratus mengaku terlalu penat atau sibuk akibat komitmen kepada kerja dan keluarga yang menyebabkan sukar mengekalkan kepuasan dalam hubungan kelamin.

“Sebab lain seperti pasangan yang terlalu penat atau sibuk akibat komitmen kepada kerja dan keluarga, sukar mencari masa untuk melakukan hubungan kelamin, pasangan kurang berminat atau tidak mencapai klimaks dalam hubungan kelamin.

“Orang ramai perlu sedar bahawa ED bukan sekadar masalah gaya hidup, ia juga masalah perubatan yang memerlukan rawatan. Ini penting bagi menggalakkan interaksi antara pakar penjagaan kesihatan dan pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:01 AM