YANA tidak mahu cakap banyak isu anak, kini sibuk sebagai pengusaha tudung.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Tipulah jika pasangan yang baru berkahwin tidak pernah ditanya soal anak. Apatah lagi jika usia perkahwinan menjangkau lebih setahun.

Sama ada diam dan enggan melayan soalan berkaitan atau terus menjawab bagi meredakan keadaan, setiap pasangan ada cara sendiri.

Bagi pelakon dan pengacara Yana Samsudin, 32, jauh dalam sudut hatinya kasihan pada peminat yang kadangkala lebih tertekan berbanding dirinya.

Katanya, kalau ada soalan berkaitan isu anak, jujurnya dia faham kerana rakan media hanya menjalankan tugas. Tapi kata Yana, ada juga kalangan peminat yang marah kepada media kerana bertanya soalan itu.

“Saya tidak tertekan sebaliknya saya bahagia, cuma mungkin tubuh badan saja yang tertekan sebab kurang masa berehat.

“Ada juga yang meluahkan pendapat mungkin kesibukan berganda ini menyebabkan perancangan untuk mendapat anak agak terbatas. Apa pun segalanya bergantung kepada rezeki,” katanya.

Andai diberi pilihan, Yana akui tidak mahu bercakap banyak mengenai isu anak dan akan menghebahkan kepada peminat sekiranya ada berita gembira itu.

“Saya rajin di laman sosial dan selalu dapat maklum balas daripada peminat, malah membaca setiap komen mereka. Peminat selalu akan tulis, media sudah tiada soalan lain ke nak tanya?

“Saya fikir, apa yang saya nak jawab pada mereka? Apa yang mereka mahukan sebenarnya? Jadi, saya beranggapan peminat sebenarnya yang lebih tertekan berbanding saya,” katanya ketawa.

Enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu itu, Yana yang kini bergelar pengusaha tudung jenama Ayana by Yana Samsudin akui kesibukan bergelar usahawan berganda berbanding bergelar pelakon.

Pelakon filem Adnan Sempit itu akui ia bukan sekadar proses jual beli biasa, sebaliknya proses yang perlu dilalui jauh lebih susah.

Katanya, sebagai peniaga, dia perlu memberi komitmen penuh apatah lagi membabitkan stokis dan ejen jualan di seluruh negara.

Setakat ini, Yana sudah mempunyai 46 stokis dan ejen di seluruh negara termasuk di Brunei dan Singapura.

“Banyak benda nak kena jaga sebab kita berdepan dengan manusia. Malah kita kena berhubung dengan ramai orang. Bahagian inilah paling mencabar, jadi selalunya saya kena urus sendiri.

“Buat masa ini, saya tidak boleh bagi kepercayaan kepada orang lain. Lagipun, bisnes ini baru lima bulan bermula tapi perjalanannya sangat cepat. Saya pula tiada pengalaman dalam bidang tekstil, banyak nak kena belajar,” katanya.

Walaupun dibantu suami tercinta, Fadzil Zahari dan kelab peminat daripada Yanasuperfriends, tatkala berdepan dengan pelanggan terutama wanita, banyak perkara perlu diambil kira.

Yana akur dia tidak seperti selebriti lain yang menjalankan bisnes tapi mempunyai sokongan pengurusan kuat di belakang mereka.

“Sebab itu saya kata penat berniaga dua kali ganda daripada berlakon. Untuk dapat momentum, saya kena beri komitmen penuh.

“Kalau sibuk berlakon, saya tak perlu fikir apa-apa kecuali hafal skrip dan berikan lakonan terbaik. Tapi sekarang, walaupun ‘angin’ tak baik, mahu atau tidak saya kena stabilkan juga terutama bab rekaan,” katanya.

Yana yang turut bergelar pengacara program hiburan Galaksi di TV9 menolak dakwaan dia tidak mahu lagi berlakon lantas menolak banyak tawaran sebelum ini.

Pelakon kelahiran Yong Peng, Johor ini berkata, dia tidak pernah menolak tawaran cuma jadualnya untuk acara lain sangat padat.

Katanya, kebanyakan tawaran yang datang bertindih dengan acara-acara itu dan andai ada yang sudah diterima tetapi terpaksa menukar tarikh lain, dia tidak dapat memberi komitmen.

Jauh dalam sudut hati, Yana tidak pernah ralat jika ada pelakon lain menggantikan tempatnya.

“Saya akui, apabila sibuk, tempat itu akan diisi pelakon lain. Sebenarnya, saya berpegang kepada tidak boleh tamak sebab Allah boleh beri kita rezeki lain.

“Dulu orang kata semua benda saya nak buat. Berlakon, me­nyanyi, mengacara, padahal saya terpaksa lakukan sebab nak mencari sesuap nasi,” katanya syukur.

Kata Yana, apabila dia mengambil keputusan berkahwin, rezekinya hebat dalam bidang pengacaraan. Tapi dia tidak banyak berlakon dan memberi tumpuan kepada bidang itu saja.

“Saya tidak akan mengambil sesuatu tawaran jika tidak mampu memikul tanggung jawab diberikan. Malah saya juga tidak mahu menjadi penghalang kepada bakat lain yang turut mempunyai peluang serupa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:03 AM