ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran kereta yang terbakar selepas merempuh belakang lori. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran kereta yang terbakar selepas merempuh belakang lori. FOTO ihsan Bomba
Oleh Asrizal Aris


Gopeng : Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori lalu terbakar di Kilometer 312.4 Lebuhraya PLUS arah utara dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mangsa M Tanabalan, 32, gagal memotong sebuah lori di hadapannya lalu merempuh belakang lori terbabit sebelum keretanya terbakar di bahagian enjin.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tapah Penolong Penguasa Bomba Mohd Khadir Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 12.16 tengah malam itu dan bergegas ke tempat kejadian serta mendapatkan bantuan dari pasukan bomba Gopeng.

"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Persona yang merempuh belakang sebuah lori dan terbakar di bahagian enjin manakala mangsa tersepit dan terperangkap dalam kereta.

"Namun, hasil bantuan orang awam, pemandu itu berjaya dikeluarkan sebelum keseluruhan keretanya terbakar dan mangsa yang cedera di lutut kanan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadam dan operasi sepenuhnya tamat jam 1.08 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 12:00 PM