Alor Setar: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah memberi penghormatan terakhir kepada Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat awal pagi ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba di Alor Setar kira-kira 1.30 tengah hari turut memberi penghormatan terakhir di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit.

Almarhum Tunku Abdul Malik, 86, yang juga adinda kepada Yang di-Pertuan Agong mangkat akibat gering.

Turut memberi penghormatan terakhir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, para kerabat, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan orang kenamaan negeri.

Sejak jam 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang, orang ramai mula berada di Istana Anak Bukit untuk memberi penghormatan terakhir disusuli sesi penghormatan oleh para kenamaan sehingga pukul 3.30 petang.

Kemangkatan Tunku Abdul Malik menyusul lebih dua bulan selepas kemangkatan isteri baginda Raja Puan Muda Kedah, Tunku Hajah Raudzah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 21 Sept lepas.

Selepas selesai acara memberi penghormatan terakhir, jenazah Almarhum dibawa dengan pedati khas melalui Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar menuju Makam Diraja Langgar untuk dimakam.

Terdahulu solat jenazah diimamkan Timbalan Mufti Kedah Syeikh Marwazi Dziyauddin dan bacaan talkin disempurnakan Mufti Negeri Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad sebelum jenazah Almarhum selamat dimakamkam tepat jam 6 petang.

Turut berada di Makam Diraja Langgar ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, anggota kerabat diraja, menteri besar, barisan Exco kerajaan negeri dan orang kenamaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 9:03 PM
Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (tengah) menyiram air mawar pada pusara Almarhum Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah di Makam Diraja Langgar. - Foto BERNAMA
Jenazah Almarhum Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah, 86, diusung ke Makam Diraja Langgar. - Foto BERNAMA
Jenazah Almarhum Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah dibawa menggunakan pedati ke Makam Diraja Langgar. - Foto AMRAN HAMID
Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memegang keranda Almarhum adindanya Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah ketika memberi penghormatan terakhir di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit. - Foto AMRAN HAMID