WALAUPUN asasi atau matrikulasi memerlukan pelajar berusaha lebih gigih, jika berjaya mereka berpeluang memilih jurusan dihajati. - Gambar hiasan
SABAN tahun, ribuan pelajar mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian peringkat asasi atau matrikulasi dan diploma. - Gambar hiasan
BAGI pelajar diploma, pelbagai pendedahan berbentuk kemahiran boleh dipelajari sesuai dengan objektif menyediakan landasan kerjaya pantas dalam industri. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali


Tamat saja peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), langkah seterusnya yang perlu dilakukan pelajar ialah mencari peluang melanjutkan pelajaran.

Pelbagai pilihan boleh dibuat sama ada melanjutkan pengajian di peringkat asasi atau matrikulasi, diploma atau tingkatan enam. Paling penting, mereka perlu membuat pilihan terbaik mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing kerana ia menentukan kejayaan pada masa depan.

Ini berikutan adakalanya pelajar tersilap membuat pilihan hing­ga terpaksa menanggung risiko membazir masa.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr Amir Hasan Dawi berkata, pelajar yang mahu melanjutkan pengajian perlu membuat pilihan dengan teliti supaya tidak sia-sia hingga mengundang masalah lain pada masa depan.

Katanya, sebelum membuat pilihan, beberapa faktor perlu diambil kira termasuk mengukur kemampuan diri.

“Ada pelajar membuat pilihan disebabkan desakan ibu bapa, mengikut rakan atau takut tak dapat tempat hingga mengabaikan keupayaan diri.

“Nasihat saya, jangan ambil mudah perkara ini kerana ia membabitkan soal masa depan. Jika tersalah buat pilihan, mereka sendiri akan menanggung akibatnya, bukan orang lain,” katanya.

Menurutnya, akses untuk menyambung pengajian yang pelbagai di negara ini membolehkan pelajar merancang masa depan dengan lebih sempurna.

“Ironinya ada tiga pilihan pengajian untuk lepasan SPM iaitu mengikuti program asasi atau matrikulasi, diploma atau tingkatan enam.

“Tiga pilihan ini sinonim dan menjadi pilihan pelajar berdasarkan kriteria atau kelayakan masing-masing,” katanya.

Bagi yang memilih asasi atau matrikulasi, beliau menyarankan mereka bersedia dengan tempoh pengajian singkat. Pelajar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengikuti kepadatan subjek dalam tempoh singkat pengajian.

“Asasi atau matrikulasi sebenarnya persediaan untuk memasuki universiti pilihan apabila pelajar didedahkan dengan pengenalan awal subjek tertentu sebelum diterima masuk.

“Semua subjek dipadatkan dan perlu dihabiskan dalam tempoh setahun atau setahun setengah. Ini bermakna pelajar perlu bersungguh-sungguh untuk memperoleh syarat kelayakan kemasukan bagi jurusan diingini.

“Jika tidak, mereka perlu akur dengan apa saja tawaran jurusan ditawarkan universiti yang membuat pilihan berdasarkan keputusan peperiksaan diperoleh sewaktu asasi atau matrikulasi.

“Jika gagal dalam peperiksaan ketika asasi atau matrikulasi, ia bermakna pelajar hanya membuang masa sepanjang tempoh itu,” katanya.

Dr Amir berkata, tempat untuk menyertai matrikulasi juga terhad dan kebiasaannya mereka yang memasuki program ini pelajar cemerlang dalam SPM.

“Matrikulasi laluan pantas kepada pelajar untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana muda di universiti.

“Mereka yang lulus matrikulasi dengan gred tinggi berpeluang memilih jurusan dihajati,” katanya.

Diploma pula, katanya, menyediakan akses lebih cerah kepada dua pilihan pelajar iaitu belajar atau bekerja.

Menurutnya, pelajar yang memilih program diploma boleh merancang masa depan lebih baik kerana bukan saja berpeluang memasuki universiti atau kolej lebih awal selepas SPM, tapi juga boleh menceburi bidang kerjaya lebih pantas.

“Pelajar yang mengikuti diploma ada pilihan lebih baik untuk masa depan iaitu sama ada melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda atau terus bekerja.

“Malah, peluang kerja untuk pemegang diploma lebih tinggi kerana biasanya mereka diterapkan dengan kemahiran diperlukan industri.

“Pembaziran masa juga tidak berlaku kerana dalam tempoh tiga tahun mereka sudah bersedia melangkah ke fasa berikutnya sama ada memulakan kerjaya atau menyambung pengajian,” katanya yang menegaskan, risiko gagal dalam program diploma sangat rendah.

“Disebabkan masa pengajiannya panjang, pelajar tidak terlalu terbeban untuk menamatkan silibus menyebabkan peluang meraih keputusan cemerlang lebih tinggi, tidak seperti tempoh pengajian matrikulasi yang sangat singkat.

“Bagaimanapun, jika pelajar yakin dengan kemampuan diri, tidak salah mengikuti asasi atau matrikulasi kerana biasanya jurusan ditawarkan lebih bersifat profesional dan berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara,” katanya.

Bagi tingkatan enam pula, Dr Amir berkata, kebanyakan pelajar enggan memilihnya kerana beranggapan ia sukar.

Menurutnya, anggapan kononnya tingkatan enam pilihan terakhir serta faktor sampingan seperti tidak glamor dan masih dilayan seperti pelajar sekolah menyebabkan ia agak terpinggir.

“Sebenarnya tingkatan enam jalan paling mudah untuk memperoleh tempat ke universiti kerana persaingannya kecil.

“Pelajar juga dapat menjimatkan masa kerana terus mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, lebih matang dan berdikari hasil kesukaran belajar di tingkatan enam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 4:48 AM