VAN Nistelrooy ucap tahniah kepada Vardy (tengah) melalui akaun Twitter miliknya.
AFP

Leicester, England: Penyerang Leicester City Jamie Vardy menyifatkan pencapaiannya sebagai “sukar dipercayai” selepas dia melakar rekod baru Liga Perdana Inggeris dengan menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut, kelmarin.

Vardy, 28, meledak pada minit ke-24 ketika seri 1-1 dengan Manchester United di Stadium King Power bagi memecah rekod yang sebelumnya dikongsi bersama bekas penyerang United Ruud van Nistelrooy.

Menonton ulang tayang dia meraikan gol itu selepas perlawanan menerusi Sky Sports, dia berkata: “Sukar dipercayai. Saya fikir saya dibuai mimpi indah.”

Van Nistelrooy pantas mengucapkan tahniah kepada Vardy apabila menulis dalam Twitter: “Tahniah @vardy7! Anda nombor satu sekarang dan anda berhak dengannya. #11 perlawanan berturut-turut.”

Vardy menjaringkan gol menerusi peluang pertamanya apabila menyambut hantaran Christian Fuchs dari sayap kanan sebelum merembat leret melepasi penjaga gol United David de Gea.

Ia gol ke-14 buatnya dalam kempen liga, yang menjadikannya penjaring terbanyak liga setakat ini dan hadir tiga tahun selepas dia beraksi bersama Fleetwood Town dalam divisyen lima liga semi-profesional Inggeris.

Ditanya bekas penjaga gol United Peter Schmeichel apa yang dijeritkannya kepada penonton ketika dia meraikan jaringan itu, Vardy tersenyum dan berkata: “Saya tidak fikir saya boleh mengulanginya, secara jujur!”

Spekulasi sama ada Vardy akan memecah rekod itu memuncak sejak dia menyamainya ketika menang 3-0 ke atas Newcastle United dua minggu lalu dan berkata dia sudah berusaha untuk mengatasinya.

“Ia mungkin menjejaskan persembahan saya jadi saya tidak mempedulikannya, tidak membiarkan ia berlegar-legar dalam fikiran saya dan hanya memberi tumpuan penuh,” ujar pemain kebangsaan England itu.

“Ia hanya satu perlawanan lain yang mana kami cuba menang dan meraih tiga mata.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:09 AM