LELAKI disaran lebih proaktif dalam perbincangan untuk kawal kehamilan tak diduga.
LELAKI disaran lebih proaktif dalam perbincangan untuk kawal kehamilan tak diduga.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin


Biasanya apabila membicarakan soal perancangan keluarga, perhatian dan usa­ha lebih tertumpu pada wanita. Mana tidaknya, kebanyakan kaedah perancangan keluarga bersifat sementara sama ada dalam bentuk pil, suntikan, tampalan, implan, cincin vagina, diafragma, penutup serviks atau penggunaan alat dalam rahim, semuanya direka untuk wanita.

Untuk lelaki, ada lima kaedah perancangan keluarga iaitu menahan diri daripada mengadakan hubungan kelamin, menggunakan kondom, hubungan seks yang tidak membabitkan vagina isteri, mengeluarkan air mani di luar vagina isteri dan pemandulan atau vasektomi.

Namun kaedah yang disenaraikan di atas (kecuali vasektomi) tidak mudah untuk dilaksanakan dan menjadikan ia tidak dilihat sebagai cara terbaik mencegah kehamilan.

Kaedah perancangan keluarga bersifat sementara untuk wanita pula mengandungi hormon yang bertindak menghalang sperma daripada sampai ke telur dan berlaku persenyawaan. Ia bersifat sementara kerana apabila penggunaan kaedah ini dihentikan, kesuburan wanita akan kembali seperti asal.

Satu-satunya kaedah perancangan kekal bagi lelaki dan wanita adalah pemandulan atau ‘ikat’ seperti yang disebut oleh masyarakat kita. Bagi perempuan, kaedah pemandulan ini dilakukan dengan mengikat tiub fallopian dan bagi lelaki, mengikat saluran untuk laluan sperma.

Menurut artikel pendidikan WebMD, dalam prosedur vasektomi, saluran vas deferens daripada setiap testikel akan diikat, dipotong atau ditutup. Ini akan menghalang sperma daripada bercampur dalam air mani. Apabila tiada sperma, maka telur daripada wanita tidak akan disenyawakan.

Testikel akan tetap menghasilkan sperma tetapi ia akan diserap oleh badan. Biasanya ia mengambil masa beberapa bulan selepas vasektomi untuk semua sperma yang ada dikeluarkan atau diserap oleh badan.

Dalam tempoh ini, lelaki disaran menggunakan kaedah pencegahan kehamilan lain sehinggalah ujian mengesahkan kiraan sperma menunjukkan angka kosong. Jika tidak, masih ada kemungkinan untuk isteri hamil.

Apabila pasangan mahu merancang keluarga, dok­tor akan menyarankan kaedah yang bersifat sementara sehinggalah mereka bersedia untuk mempunyai anak. Biasanya doktor akan menyuruh pasangan berfikir panjang jika memilih pemandulan kerana kaedah ini tidak boleh diundurkan.

Melihat kepada banyaknya kaedah yang direka untuk wanita, pembuat filem dan aktivis media, Jonathan Stack berganding bahu bersama pakar urologi dan vasektomi, Dr Doug Stein mengambil inisiatif supaya lelaki juga mengambil bahagian secara aktif dalam perancangan keluarga dengan mengadakan Hari Vasektomi Sedunia.

Bunyinya memang agak lucu, tetapi ia adalah program untuk meningkatkan kefahaman dan pembabitan lelaki dalam kawalan saiz keluarga. Malah mereka percaya vasektomi adalah kaedah selamat dan berkesan untuk lelaki yang tidak mahu mempunyai anak lagi dalam usaha mengelakkan kehamilan tidak dirancang.

Hari Vasektomi Sedunia mula dilancarkan pada 13 November 2013. Mungkin ada yang beranggapan ia menggalakkan lelaki untuk menjalani proses berkenaan. Jangan salah sangka, penganjurnya tidak menyarankan vasektomi untuk semua lelaki, hanya kepada mereka yang berasakan keluarganya sudah ‘lengkap’ dan tidak mahu mempunyai anak lagi.

Sasaran utamanya adalah menggalakkan lelaki untuk lebih proaktif dalam perbincangan me­ngenai perancangan keluarga.

Pada tahun kedua, seramai 400 doktor dari 30 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, India, Kenya, China dan Colombia menjalankan hampir 3,000 prosedur vasektomi lebih dua kali ganda berbanding ketika ia mula dilancarkan.

Berdasarkan laporan agensi berita AFP, tahun ini kira-kira 750 doktor dari 25 negara yang menjalankan prosedur pembedahan itu ke atas 3,000 lelaki dalam acara yang dijalankan serentak di seluruh dunia sehingga ada yang menggelarnya ‘vasektomiaton’.

Menurut pengasasnya, Stack, kebanyakan prosedur dijalankan secara percuma atau pada harga diskaun.

“Dalam menggalas tanggungjawab merancang keluarga, lelaki menjadi wira kepada pasangan dan keluarga mereka, malah masa depan masyarakat dunia,” katanya.

Acara itu juga diadakan kerana usaha untuk memperluaskan kaedah pencegahan kehamilan atau kontraseptif khususnya kepada wanita di sesetengah negara termiskin masih tidak mencapai sasaran. Dalam satu laporan menyebut sehingga kini, seramai 24 juta wanita dan remaja perempuan mempunyai akses kepada kontraseptif apabila pelbagai usaha dijalankan sejak 2012.

Bagaimanapun, jumlah itu masih kurang kerana sasaran yang ditetapkan adalah 34 juta orang wanita ada akses kepada kontraseptif dalam memperkasakan mereka merancang kehidupan dan saiz keluarga.

Kira-kira empat daripada 10 kehamilan di dunia dikategorikan sebagai kehamilan tidak dirancang. Biasa­nya usaha untuk merancang keluarga diserahkan kepada wanita yang terpaksa berdepan dengan pelbagai akibat daripada kehamilan yang tidak dirancang dan tidak dikehendaki.

Di kebanyakan negara, jumlah lelaki yang menjalani vasektomi kurang daripada satu peratus walaupun prosedurnya mudah, selamat dan tidak memberi kesan kepada kehidupan sek­sual.

Di Indonesia contohnya, usaha menggalakkan vasek­tomi tergendala seketika apabila beberapa tahun lalu ulama di negara itu mengatakan ia haram. Pada 2012, sebuah daerah di Sumatera menawarkan imbuhan wang kepada lelaki yang menjalani prosedur itu tetapi ia menimbulkan kemarahan wanita yang bimbang suami mereka berlaku curang selepas dimandulkan.

Dr Doug Stein yang sudah menjalankan pembedahan vasektomi ke atas lebih 30,000 lelaki berkata, ia adalah pilihan terbaik bagi lelaki yang mempunyai ramai anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:11 AM