ALLAHYARHAM bersama bekas peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa, Ucop sebelum membuat persembahan malam tadi. FOTO ihsan Uchop Avidity
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Final Raja Band di Dataran Merdeka, di sini, malam tadi menjadi pentas akhir pelawak popular Allahyarham Yussry Edoo, 39, atau Pak Yus Jambu membuat persembahan sebelum dia meninggal dunia di Hospital Selayang akibat serangan jantung kira-kira 12 tengah malam tadi.

Dalam program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, Yus bersama kumpulan muziknya Lima Bara tampil sebagai artis jemputan dan menyanyikan tiga lagu.

Pemain dramnya, Norazhar Buyong atau Pak Cu berkata, ketika membuat persembahan Yus yang juga penyanyi kumpulan itu agak agresif.

“Dia melompat-lompat dan ada sekali dia duduk di atas ‘bass drum’ di depan saya. Sebaik persembahan selesai, Pak Yus hilang dan kemudian kami dapati dia sudah berada dalam kereta.

“€œKetika itu dia duduk bersandar tanpa berbaju. Diakelihatan penat tetapi tetap bersembang dengan kami seperti biasa," kata Pak Cu yang juga anggota kumpulan XN3 dalam program Maharaja Lawak pada 2011.

Pak Cu berkata, Yus mengajaknya menaiki kereta bersama untuk pulang. Turut berada di dalam kereta berkenaan ialah dua bekas peserta Maharaja Lawak iaitu Jon daripada kumpulan Ekzos dan Mie (kumpulan Shake).

“Ketika tiba di Jalan Kuching, dia tiba-tiba meminta pendingin hawa ditutup dan membuka tingkap kereta. Dia juga tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami cuba kejutkannya tetapi perutnya sudah keras. Kami yang panik akhirnya membuat keputusan membawanya ke Hospital Selayang,” katanya.

Pak Cu berkata, ketika di hospital doktor memaklumkan degupan jantungnya sudah berhenti.

“Kira-kira setengah jam kemudian doktor memaklumkan Yus sudah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan, Yus menghidap kencing manis dan darah tinggi selain turut mengalami masalah jantung.

Jenazah Yus dibawa ke kampung halamannya di Perlis awal pagi tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam dekat Bintong, selepas solat Zohor, hari ini.

Berita berkaitan

Yus Jambu sudah tiada: http://bit.ly/1Q6BGqy

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 1:01 PM