Oleh Mohd Hasbi Sidek


Pelabuhan Klang: Seorang pemandu cedera apabila treler yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Klang menuju ke Pelabuhan Barat, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, treler yang dipandunya lelaki berusia 30-an bertembung dengan sebuah lori tangki yang melalui laluan bertentangan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa tersepit di tempat pemandu dan mengalami kecederaan sebelum dikeluarkan pihak bomba.

Menurutnya, bomba daripada Balai Bomba Pelabuhan Klang tiba di tempat kejadian turut menjalankan kerja membersihkan tumpahan minyak.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang memandu lori tangki bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 8:02 PM