SAPEE Omar bersama anggota bomba menunggu rakannya di kaki Bukit Jambul.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud


Georgetown: Sepasukan anggota bomba dipanggil bagi membantu membawa seorang pesara bank berusia 56 tahun turun dari Bukit Jambul, 7 malam tadi selepas mangsa gagal mencari jalan digunakan sebelum itu untuk turun berikutan keadaan sudah gelap.

Terdahulu, lelaki itu dikatakan mendaki bukit berkenaan kira-kira jam 6 petang tadi seorang diri.

Namun dia, mula panik dan menghubungi rakannya juga pesara guru pada 7.45 malam memaklumkan dia gagal untuk mencari jalan untuk turun berikutan hari sudah gelap.

Rakan mangsa Sapee Omar, 67, berkata, dia pada mulanya menyangka perkara itu hanyalah gurauan mangsa.

"Selepas dia (mangsa) menjelaskan apa sebenar yang berlaku saya mula merasa tidak sedap jati dan terus bergegas ke kaki Bukit Jambul.

"Akibat panik saya bingung dan tidak tahu apa perlu dibuat sebelum bertenang seketika dan terfikir untuk menghubungi polis dan bomba," katanya.

Difahamkan anggota bomba sudah menemui mangsa dalam keadaan selamat dan kini sedang di bawa turun ke kaki bukit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 9:52 PM