Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Keriangan jelas terpancar pada wajah ribuan kanak-kanak yang me­nyertai Larian Kanak-Kanak dan Hari Keluarga Giant 2014, baru-baru ini.

Mereka datang seawal jam 7 pagi ditemani ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing.

Pengurus Besar Pemasaran GCH Retail (M) Sdn Bhd, Norine Erica Majaman berkata, selain larian, acara yang memasuki tahun keempat itu diperhebatkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Kata Norine, pihak­nya mahu acara tahunan itu menjadi satu aktiviti yang bukan saja memberi kenangan manis buat seisi keluarga, malah turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Ia juga menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat setia kawan dalam kalangan kanak-kanak selain memelihara unit kekeluargaan.

"Berikutan sambutan menggalakkan diterima bagi penganjuran tiga acara sebelumnya, cabaran tahun ini adalah untuk menganjurkan acara yang lebih besar dan hebat.

"Di samping itu, larian kali ini juga menawarkan lebih banyak hadiah, pe­ngalaman dan yang paling penting, kenangan yang menyeronokkan untuk dibawa pulang oleh kanak-kanak berkenaan," kata­nya.

Pada program berkenaan, penganjur turut mengadakan acara larian memakai pakaian bertema, lompat jauh, menaiki belon udara panas, lukisan wajah, seni pasir, lukisan inai dan banyak lagi.

Turut disediakan, pelbagai gerai permainan berbentuk karnival yang menjadikan acara ini adalah satu aktiviti lengkap untuk seisi keluarga," katanya.

Larian berkenaan dibahagi kepada empat kategori iaitu untuk kumpulan umur empat hingga enam tahun, tujuh hingga lapan tahun, sembilan hingga 10 tahun dan 11 hingga 12 tahun.

Kanak-kanak yang berumur antara empat hingga enam tahun dikehendaki berlari sejauh satu kilometer (km), tujuh hingga lapan (2.5km), sembilan hingga 10 tahun (tiga km) dan 11 hingga 12 tahun akan berlari sejauh 3.6km.

Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, acara kali ini turut menyediakan hadiah kepada 10 pemenang teratas.

Norine berkata, pihak­nya merasakan bahawa lebih ramai kanak-kanak patut diberi hadiah atas kesungguhan dan mahu mereka gembira dengan penghargaan berkenaan.

Katanya, pihaknya turut memberi baucar tunai Giant bernilai antara RM50 hingga RM500 diberikan kepada pemenang dalam kategori yang paling muda.

"Pemenang kategori lain menerima baucar tunai bernilai antara RM100 hingga RM1,500 manakala tiga pemenang pertama bagi setiap kategori juga menerima sebuah trofi.

"Peserta lain yang menamatkan perlumbaan diberikan pi­ngat tamat larian. Hadiah berkenaan diharap menjadi pendorong kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sihat selain menjadi seorang yang aktif pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM