AZERAI memberi tunjuk ajar kepada pelakon teater ini.
BARISAN pelakon giat menjalani latihan.
POSTER Onn Jaafar Sebuah Muzikal.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Teater berjudul Onn Jaafar Sebuah Muzikal hasil karya dan arahan Amar Reza Zainalabidin yang juga graduan Diploma Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) akan dipentaskan kepada penonton sempena Penilaian Kokurikukum Kebudayaan HKB223A Drama/Teater 2 membabitkan pelajar koDrama 2.

Pementasan secara percuma ini akan berlangsung malam esok di Dewan Resital Panca Sakti, Pusat Kebudayaan HEP, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, jam 8.30 malam. Persembahan itu turut membabitkan penyertaan pelajar Mutiara Tari Tingkah (MuTT), Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.

Jurulatih Kokurikulum Kebudayaan UiTM, Azerai Azmi berkata, ini kali pertama mereka mementaskan naskhah muzikal berbanding tiga edisi sebelumnya yang menampilkan genre realisme dan eksperimental.

“Saya memilih Amar sebagai pengarah kerana saya mengenalinya dan tahu kehebatannya dalam aliran muzikal sejak saya menjadi jurulatih teater di Sekolah Menengah Taman Keramat pada 2011.

“Ketika itu dia masih bersekolah di situ. Onn Jaafar Sebuah Muzikal pernah meninggalkan kenangan buatnya kerana muncul sebagai johan dalam pertandingan Semarak Teater Peringkat Negeri Selangor pada 2012,” katanya yang sudah empat tahun memikul tanggungjawab sebagai jurulatih di situ.

Azerai yang baru memenangi gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Selangor 2015 berkata, Amar sangat komited dan tidak mensia-siakan pembelajaran yang diperoleh dalam pengajian diplomanya selama ini.

“Pengarahannya lebih matang dan lagu yang dihasilkan juga segar. Sebelum ini saya sibuk dengan pementasan teater Jalan Mati untuk Festival Teater Selangor dan terpaksa menyerahkan tanggungjawab membentuk pelakon di bahu Amar.

“Ternyata, dia berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sewaktu ketiadaan saya. Dia ternyata bijak dalam urusan membentuk perwatakan di dalam pementasan ini,” katanya yang turut bergelar pelajar Sarjana Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, Amar yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang pengarahan di peringkat Ijazah Sarjana Muda ternyata teruja dengan tugasan yang diberikan.

“Ini pengalaman pertama saya mengarah pelakon yang bukan terdiri daripada pelajar seni lakon. Namun, saya kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan pelakon di bawah bimbingan Azerai.

“Kadangkala mereka memberikan persembahan yang di luar jangkaan dalam sesi latihan. Ada ketikanya mereka mengakui tertekan dengan tempoh latihan yang singkat. Persembahan edisi keempat ini dibekalkan dengan beberapa lagu dan babak baru.

“Saya mengakui pementasan ini antara yang terbaik ingin ditampilkan memandangkan naskhah ini pernah memenangi anugerah khas juri (teater) sempena KaryaOne, FiTA UiTM,” katanya.

Selain Amar Reza, pementasan ini turut mendapat khidmat Ketua Bidang Tarian Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Syed Hakim sebagai Penasihat Artistik dan menguruskan pelakon kanak-kanak dalam pementasan ini.

“Saya turut teruja apabila diajak terbabit dalam projek ini. Kerja saya berjalan lancar dengan adanya bantuan daripada Penyelaras Kokurikulum Komponen Teras Kebudayaan UiTM, Nurul Suhana Mohd Noor,” katanya.

Pengarah Pembangunan Pelajar HEP, Dr Mohd Bahrin Othman, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Prof Madya Mohammed Yaziz Ahmad, Koordinator Pusat kebudayaaan (HEP) dan Koordinator Pusat Kebudayaan (HEP), Muhammad Shukor Abdul Moner antara yang diundang untuk menonton.

Turut dijemput, Pengetua Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Noor Aini Jaafar dan Ketua Pusat Pengajian Teater, FiTA UiTM, Mazlan Tahir untuk sama- sama menyaksikan persembahan penilaian yang akan disertai 24 pelajar Kokurikulum Drama/Teater 2 dan enam pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 8:19 AM