MAYAT mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokas dilaporkan lemas. FOTO ihsan JPAM
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun yang tergelincir dari tebing pantai Pantai Lido di sini, malam tadi ditemui lemas kira-kira 10 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru, Leftenan Muda (PA) Mohd Aziz Jupri berkata, mangsa, Muhammad Yuszairee Ramlee ditemui terapung dalam keadaan tertiarap kira-kira 100 meter dari lokasi dilaporkan lemas.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai polis dan bomba, disambung kira-kira 8.30 pagi tadi selepas operasi malam tadi dihentikan berikutan cuaca gelap dan hujan.

"Mangsa kemudian ditemui oleh pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kira-kira 10 pagi," katanya.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan berjalan bersama abangnya di lokasi kejadian sebelum terjatuh ke laut kira-kira 2 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 1:53 PM