Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Bayi berusia empat bulan menghidap penyakit jantung, Nur Zara Humairah Mohd Iftikhar, yang memerlukan rawatan segera diterbangkan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, menggunakan helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira jam 3.10 petang tadi.

Anak sulong pasangan Mohd Iftikhar Kamaruzaman, 25, dan Nurhayati Mat Husin, itu diterbangkan dengan helikopter Agusta Westland AW139 bagi menjalani pembedahan selepas menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Juruterbang helikopter itu, Kapten Wan Najib Wan Nor berkata APMM diminta melakukan memberikan penerbangan ihsan kepada bayi terbabit yang memerlukan rawatan segera.

Katanya, penerbangan bermula jam 12.40 tengah hari dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dan mengambil masa satu jam 30 minit untuk sampai ke IJN.

"Bayi itu memerlukan pemindahan segera kerana hanya bergantung kepada mesin pernafasan dan perlu menjalani pembedahan di IJN.

"Saya bersama dua kru, seorang doktor dan pembantu serta ibu bayi berkenaan bersyukur kerana mendarat dengan selamat di padang Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 3.10 petang walaupun ketika itu hujan lebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 7:14 PM