ANGGOTA polis di lokasi kejadian.
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Semenyih: Lelaki berusia 31 tahun dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa bersama isterinya baru keluar dari kediaman mereka sebelum Hyundai Sonata berwarna kelabu dinaiki empat lelaki menghalang kenderaannya.

Menurut sumber, suspek turut melepaskan beberapa das tembakan hingga terkena cermin hadapan dan bonet kenderaan mangsa.

"Mangsa kemudian bertindak mengundur Honda Civic miliknya sehingga di satu persimpangan sebelum terhenti akibat tersangkut pada tembok.

“Suspek keluar, menarik lelaki ke kenderaan mereka dan melarikan diri. Bagaimanapun, isterinya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 1:04 AM