ALI mempersembahkan lagu-lagu popularnya ketika bersama XPDC.
MAEL (kiri) bersama pemain gitar, Jeff ketika persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
PERSEMBAHAN XPDC di Arau dihadiri lebih 1,000 penonton.
IZO antara pelopor XPDC.
XPDC yang diketuai Izo(kiri) selepas persembahan di Arau, Perlis.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman & Aizat Sharif


Band heavy metal popular XPDC yang kini sudah berpecah kepada dua kumpulan serta terpalit dengan isu perebutan nama tidak menghalang kedua-duanya meneruskan legasi mereka.

Konsert Rockestra XPDC di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu yang menampilkan Mael (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bass), Lola (dram) dan Arif (gitar) akhirnya membawa kepada perpecahan itu.

Izo kemudian bertindak membawa kembali penyanyi Ali ke dalam XPDC manakala Mael memanggil dua lagi anggota asalnya iaitu Zuar (bass) dan Amy (dram) serta pemain gitar, Jeff menubuhkan ‘satu’ lagi XPDC.

Hasilnya, wujud dua XPDC dan berlaku isu perebutan nama. Kedua-dua band ini juga terus aktif mengadakan persembahan di seluruh negara dan mempersembahkan lagu-lagu yang lebih kurang sama.

Secara kebetulan, XPDC yang diketuai Mael mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Ahad lalu dan XPDC diketuai Izo di pekarangan pasar raya Cmart, dekat Arau, Perlis sehari sebelum itu.

Mael terharu sambutan peminat

Ketukan padu pemain dram Amy yang diiringi permainan bass Zuar serta Mael sebagai penyanyi utama sememangnya dirindui peminat setia mereka.

Kemasukan Jeff daripada band Giegil sebagai pemain gitar turut memantapkan kumpulan ini dan hasilnya Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur bergegar dengan sorakan gamat peminat malam Ahad lalu.

Ini persembahan kedua mereka menerusi sesi jelajah bertemu peminat di pusat hiburan terkenal itu selepas Hard Rock Cafe Melaka pada 8 November lalu dan sambutan peminat tidak mengecewakan.

Peminat yang kebanyakannya terdiri daripada golongan ‘otai’ kelihatan larut dengan alunan suara Mael yang menyampaikan 12 lagu popular mereka antaranya Raja Kertas, Senapang Patah, Selendang Merdeka, Titian Perjalanan, Hijau Bumi Tuhan, Semangat Yang Hilang, Bahalol dan Apa Nak Dikata.

Tanpa diajak, mereka turut menyanyikan lagu nostalgia yang kebanyakannya hasil sentuhan JS Kevin yang pernah menemani perjalanan kehidupan mereka dulu.

Sesuai dengan judul persembahan iaitu Headbang Comeback, ada segelintir peminat melakukan aksi ‘headbanging’ mengiringi persembahan XPDC.

Keseluruhannya persembahan XPDC menghiburkan. Bagaimanapun, ada dalam kalangan peminat merasakan ia tidak mencukupi kerana belum cukup panas, persembahan sudah berakhir.

Mael yang ditemui selepas persembahan mengakui terharu dengan sambutan peminat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan bersama XPDC.

Kami masih ada penyokong setia yang ‘support’ serta generasi baru dan kami sangat berterima kasih. Walaupun bermacam-macam kritikan dilemparkan, mereka masih sukakan saya.

“Rasanya mereka lebih mengenali saya berbanding segelintir lagi yang suka mengkritik saya. Bagi mereka yang membenci saya, saya ucapkan terima kasih kerana tanpa kritikan, mungkin saya tak dapat memperbaiki diri.

“Bagaimanapun, kadang-kadang faktor usia membataskan kemampuan kita sebenarnya. Kadang-kadang akan berlaku proses kehilangan suara. Semua band dalam dunia akan begini. Rasanya itu bukan satu masalah. Yang penting kami dapat menghiburkan semua dan mereka gembira menyaksikan persembahan kami, “ katanya.

Mael berkata, mereka kembali aktif bukan untuk menunjukkan kehebatan XPDC, sebaliknya tampil atas desakan peminat.

“Kalau ikutkan pada usia dan permasalahan kami, mungkin kami sudah putus asa, tapi saya berjaya mengembalikan Zuar dan Amy dan ini sesuatu yang positif.

“Sebelum ini kami banyak dipengaruhi orang sekeliling yang membuatkan kami berpecah-belah dan berjauh hati sesama sendiri. Ada pihak yang sengaja nak lihat kami berpecah belah,” katanya.

Menganggap itu lumrah, Mael kini mahu fokus kepada XPDC daripada terlalu memikirkan perkara lain.

Ditanya mengenai persaingan dengan XPDC yang diketuai Izo, Mael enggan memikirkan perkara itu dan menyerahkannya kepada peminat dan syarikat rakaman Life Records.

“Kami tak nak perkara itu berlaku, tapi ia berlaku juga. Saya pelik ada orang nak mengaku dia ada hak. Saya memang tak dinafikan dia salah seorang anggota asal XPDC satu ketika dulu.

“Tapi, selepas konsert Rockerstra XPDC di Stadium Merdeka, segala-galanya berubah. Tak tahulah kenapa perkara ini berlaku dan saya tak nak salahkan mana-mana pihak.

Biar saya salahkan diri sendiri dan Tuhan saja tahu apa yang berlaku. Apapun kami nak teruskan apa yang dibuat sekarang. Kontroversi dan isu semua orang lain yang cetuskan. Saya tak suka perkara ini berlaku,” katanya.

Ali mahu kedua-dua XPDC bergabung

Kemelut perebutan nama XPDC turut membuatkan kelompok peminat band itu turut terbahagi kepada dua.

Penyanyi, Ali yang menganggotai XPDC diketuai Izo berkata, dia turut menerima tempias daripada perkembangan itu apabila ada segelintir peminat masih membezakan dirinya dengan Mael.

“Perpecahan dalam kalangan peminat memang sudah dijangkakan di mana ada yang menyukai XPDC versi kami dan ada juga tetap dengan versi lama. Pendekatan kami mudah iaitu teruskan perjuangan dan mengharapkan adanya penyelesaian secara baik dalam kemelut ini,” katanya selepas membuat persembahan di Arau, Sabtu lalu.

Ali berkata, ramai peminat mengharapkan kedua-dua kumpulan XPDC ini dapat bergabung, namun berdasarkan keadaan semasa kedua-duanya mempunya ego sendiri.

“Apabila wujud Team A dan Team B ini pasti mempunyai ego masing-masing, namun pada saya apabila kedua-dua ini dapat bergabung semula ia lebih seronok kerana jalinan sillaturahim dapat dikukuh–kan.

“Saya memang tidak mahu perkara ini berlaku, tetapi apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah cuba meneruskan persembahan dengan memenuhi undangan yang ada,” katanya.

Ali berkata, setakat ini perbincangan terhadap pihak yang lebih berhak menggunakan nama XPDC itu belum diputuskan secara rasmi.

“Buat masa sekarang, Life Records memberi peluang kepada kedua-duanya menggunakan nama XPDC dan tiada siapa boleh menyatakan bahawa mereka mempunyai hak untuk menggunakan nama XPDC secara eksklusif,” katanya.

Ali tidak menafikan sokongan peminat ketika ini dilihat lebih terarah kepada XPDC versi Mael, namun peminat juga perlu melihat bahawa Izo juga ‘tulang belakang’ XPDC yang masih terus bertahan.

“Izo adalah pelopor XPDC kerana dia yang banyak menggubah lagu, membuat susunan lagu dan menyusun aktiviti kumpulan XPDC biarpun anggota kumpulan sering datang dan pergi.

“Namun jika rezeki berpihak bersama kami, ia akan diterima dengan senang hati namun jika tidak, mungkin kita pula terpaksa menukar nama,” katanya.

Dalam persembahan di Arau, mereka berjaya menghiburkan lebih 1,000 peminat dengan 12 lagu antaranya Semangat Perjuangan Harmoni, Teman, Sakinah dan Semangat Yang Hilang.

Ali berkata, Perlis dipilih sebagai destinasi pertama konsert jelajah mereka kerana mahu mengubati kerinduan peminat negeri itu yang sudah lama menantikan kemunculan XPDC.

“Kali terakhir kami membuat persembahan di Perlis pada akhir 1990-an. Kali ini kita hendak belanja peminat di Perlis dengan lagu kami yang pernah popular satu ketika dahulu,” katanya.

Mereka akan meneruskan konsert di Pulau Pinang minggu ini sempena Pesta Pulau Pinang sebelum ke Tawau, Sabah pada 29 dan 30 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 8:51 AM