DE BRUYNE tampil aksi cemerlang.
AFP

London: Kevin De Bruyne meledak dua gol bagi membantu pendahulu Liga Perdana Manchester City mengatasi Hull City 4-1 sekali gus mengetuai tiga pasukan utama melangkah ke separuh akhir Piala Liga Inggeris.

De Bruyne muncul antara penjaring gol ketika pasukannya menang 3-1 ke atas Southampton, Sabtu lalu dan kecemerlangan itu diteruskan ketika skuad bekas juara itu mengetepikan Hull sambil Wilfried Bony dan Kelechi Iheanacho turut mencatat nama selaku penjaring.

Gerard Deulofeu menjadi wira membantu kemenangan 2-0 Everton di Middlesbrough dan Stoke City mengalahkan Sheffield Wednesday 2-0 untuk memastikan tiga dari empat slot ke separuh akhir menjadi milik skuad Liga Perdana.

“Kami hanya mempunyai tempoh selama 72 jam untuk menyiapkan diri (selepas perlawanan menentang Southampton) justeru, saya perlu mengucapkan tahniah kepada semua pemain,” kata pengurus City Manuel Pellegrini.

“Perkara paling penting ialah untuk terbabit dalam semua pertandingan hingga peringkat ini. Kami bertahan dengan baik dan tidak membenarkan Hull menjaringkan gol.”

City membuat lima pertukaran pada perlawanan menentang Hull yang ketika ini menduduki tangga keempat Liga Kejuaraan. David Silva mengetuai pasukannya di Stadium Etihad pada permulaan pertamanya sejak sembuh daripada kecederaan.

Sergio Aguero tidak bermain apabila berdepan kecederaan ketika menentang Southampton tetapi Bony memastikan penyenaraiannya bukan satu kesilapan apabila menjaringkan gol pada minit ke-12 selepas rembatan De Bruyne terkena tiang.

Pellegrini berkata, Aguero dan penjaga gol Joe Hart yang turut tidak diturunkan semalam, akan kembali bermain pada perlawanan menentang Stoke, Sabtu ini.

Iheanacho masuk menggantikan Bony pada minit ke-71 dan menjaringkan gol sembilan minit kemudian hasil hantaran lintang Raheem Sterling.

Jaringan De Bruyne hadir pada lewat permainan dan penyerang Belgium itu mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan lawan pada minit ke-82 sebelum menghasilkan gol keempat pasukannya ketika permainan berbaki tiga minit. Andrew Robertson menghasilkan gol sagu hati buat Hull pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:31 AM