CHONG Wei pada sidang media Visi Legenda Yonex di Hotel The Ritz Carlton, semalam.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas hampir lapan bulan bekerjasama dan meraih tiga kejuaraan berturut-turut termasuk Siri Super Perdana Terbuka China, Datuk Lee Chong Wei mengakui selesa berada di bawah bimbingan Hendrawan dan mahu kekal hingga Sukan Olimpik Rio 2016.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, sejak dari dulu hingga sekarang dia tidak pernah merungut atau memberi komen negatif siapa yang menjadi jurulatihnya termasuk Hendrawan yang mula membimbingnya April lalu.

“Tak kisah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menukar jurulatih saya, semuanya saya terima. Saya sedar ramai yang melihat prestasi dan permainan saya berubah selepas meraih tiga kejuaraan (Terbuka Perancis, China dan Hong Kong),” katanya pada sidang media Visi Legenda Yonex, semalam.

Jelasnya, jurulatih kelahiran Indonesia itu banyak membantunya kerana dulu permainannya lebih terarah kepada corak serangan, namun kali ini sedikit berbeza dengan pelbagai corak.

“Setiap jurulatih memang mempunyai teknik berbeza termasuk Tey Seu Bock, sekarang saya mampu mencampur pelbagai cara teknik Hendrawan, sebelum ini Li Mao dan Datuk Misbun Sidek. Ia membuatkan saya mempunyai banyak cara serta pilihan.

“Beliau (Hendrawan) betul-betul fokus dalam program latihan untuk saya. Pada awalnya saya tidak biasa dengan caranya kerana dari 2011 bersama Seu Bock. Bagaimanapun, selepas balik berbincang dengan isteri (Datin Wong Mew Choo) dia meyakinkan saya pertukaran jurulatih mampu memberi kelainan dan saya menerimanya,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

Chong Wei yang menghuni ranking keempat dunia mengakui tidak kisah walaupun corak latihan sukar kerana dia menerima dengan hati terbuka.

“Selepas beliau tengok saya bergelut dan tidak selesa dengan latihan itu beliau ajak saya berbincang. Katanya kepada saya kalau tidak selesa bagi masa kepadanya untuk melatih hingga bulan ini saja.

“Ketika itu saya tidak memberi jawapan ya atau tidak, cuma saya rasa beliau mampu membimbing saya sampai Olimpik 2016. Ini Olimpik terakhir saya, tidak kisah sama ada jurulatih itu bagus atau tidak saya tidak pernah merungut.

“Ketika pulang dari Terbuka Hong Kong, Hendrawan datang jumpa saya dan sekali lagi bertanya sama ada mahu mengikut program latihannya. Saya sedikit terkejut dan saya memberitahu kepadanya tidak kisah sama ada gagal menjuarai Terbuka Perancis, China dan Hong Kong saya mahu terus bersamanya,” kata Chong Wei.

Ditanya mengenai rakan sepelatih menjelang Olimpik 2016, Chong Wei mengakui perkara itu sudah dibincangkan dengan BAM dalam masa yang sama dia mengharapkan rakan senegara itu mampu layak ke Rio.

“Dalam BAM mereka (Chong Wei Feng dan Liew Daren) paling senior, saya harap mereka kekal sampai Olimpik dan selepas itu kita tengok macam mana keputusan BAM. Daren sekarang bergelut kecederaan hamstring, saya harap dia dapat kembali bermula Januari ini dan dia pun sudah tahu apa yang dia mahukan selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:12 AM