SAFIRUL (dua kanan) bersama barisan pengelola pertandingan memperaga trofi kejohanan.
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Edisi kedua Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh berjaya menarik penyertaan beberapa kelab ternama dunia dari 7-13 Disember ini di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Kejohanan bawah umur yang akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu bawah-12 (B-12) dan bawah-13 (B-13) itu menyaksikan persaingan hebat termasuk juara remaja England, Manchester City, Dinamo Zagreb (Croatia), Rayo Vallecano (Sepanyol) dan Corinthians (Brazil).

Mereka akan dicabar pasukan gergasi Asia dari Liga Jepun dan Liga Korea Selatan seperti Gamba Osaka, Kashiwa Reysol, Suwon Samsung Bluewings, Seoul Jamwon, Seoul Shindap, Geoje Kimjingyu serta juara bertahan musim lalu Pohang Steelers.

Naib juara musim lalu Malaysia Cougars dan dua lagi wakil negara iaitu Malaysia Tigers dan Malaysia Panthers turut bersaing merebut kejuaraan kali ini. Bukan itu saja, lima akademi terbaik dalam negara juga turut dijemput CIMB-YFA, Bintang Biru, Tunas Lagenda, 1MCC dan Jeonsa.

Selain itu, Guanzhou Evergrande (China), Bunyodkor (Uzbekistan), Sepahan (Iran), Chonburi FC (Thailand), Buriram United (Thailand), Filipina dan Bangladesh hadir melengkapkan himpunan pasukan yang bertanding kali ini.

Menurut Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Safirul Azli Abu Bakar, penganjuran kejohanan itu adalah penutup tirai tahunan bagi semua program PPBN setiap tahun.

“Seperti yang diketahui umum, pasukan projek B-13 dan B-12 sudahpun menjalani latihan siri jelajah Eropah, Asia dan ASEAN sepanjang musim ini.

“Mereka mendapat pendedahan antarabangsa yang baik malah ada daripada mereka baru kali pertama merasai pengalaman bermain di negara luar dan ia secara tidak langsung membina keyakinan diri pemain.

“Menerusi kejohanan ini, lebih banyak peluang dapat diberikan kepada pemain tempatan untuk bersaing dengan pasukan luar sekali gus dapat melihat tahap permainan sebenar anak-anak muda kita di depan mata,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kejohanan itu di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Katanya, jurulatih yang bernaung di bawah struktur kejurulatihan PPBN pula akan diberi peluang mempelajari pelbagai aspek kejurulatihan dan penganjuran pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:25 AM