Skip this ad x
ANGGOTA penyelamat mengusung mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Bengkulu, semalam.
Agensi

Bengkulu: Seramai 18 penduduk yang menunggu kebun durian mereka dipercayai maut selepas ditimbus tanah runtuh di kampung Lebong Tandai di Bengkulu Utara, Sumatera semalam.

Pasukan penyelamat menemui tiga mayat dan baki 15 mangsa dipercayai masih tertimbus di dalam timbunan tanah, pokok serta batu sedalam lima meter.

Jurucakap agensi penyelamat, Sutopo Purwo Nugroho berkata, hujan lebat menyebabkan lereng bukit berhampiran dusun durian berkenaan runtuh pada awal pagi semalam.

“Tanah runtuh ini menimbus kira-kira 20 pondok menunggu durian milik penduduk kampung.

“Semua mangsa yang hilang tidur dalam pondok berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari mangsa yang tertimbus berdepan kesukaran kerana lokasi berkenaan sukar dimasuki jentera berat.

“Pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki kerana jalan ke kawasan ini tidak dapat dilalui kenderaan.

“Kami terpaksa berjalan kaki selama tiga jam untuk tiba ke lokasi sambil membawa peralatan ringan.

“Peluang untuk menemui mangsa yang terselamat sangat tipis kerana ditimbus terlalu dalam,” jelasnya.

Sementara itu, ketua kampung Lebong Tandai, Munta Alimun memberitahu, tanah runtuh itu juga menyebabkan jalan perhubungan penduduk terputus.

“Semua penduduk terputus hubungan kerana tiada kenderaan yang boleh masuk atau keluar dari kampung kami.

“Ramai penduduk hanya mempunyai bekalan makanan yang mampu bertahan selama dua atau tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:41 AM