MOHD Zaid (tengah) di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Zaid (tengah) di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan membuat kenyataan jelik dengan niat menyakiti hati orang lain berhubung gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan yang disiarkan di blognya.

Mengikut pertuduhan, Zaid, 64, selaku orang kena saman (OKS) didakwa menggunakan aplikasi Internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan itu di http://www.zaid.my/current/rally-behind-tun-dr-mahathir-mohammad/ dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, dekat sini pada 3.20 petang, 3 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian menetapkan 22 Januari depan untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 1:01 PM