PUTRAJAYA 04 December 2015. Peguam Pathmanabhan, Amer Hamzah Arshad semasa sidang media selepas mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam dan tiga lagi yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.
Oleh Murni Wan Omar


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam dan tiga lagi yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pada 2010.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Aziah Ali, dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa sabitan dan hukuman terhadap bekas peguam N Pathmanabhan, 45, serta T Thilaiyalagan, 23; R Matan, 24; dan R Kathavarayan, 35 adalah selamat dan betul.

Dalam keputusan yang dibacakan selama satu jam oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, mahkamah berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila menerima masuk keterangan saksi dari syarikat telekomunikasi berhubung kehadiran empat mangsa di Banting ketika kejadian.

"Mahkamah juga menerima keterangan bahawa Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan yang menunjukkan tempat kejadian dan membawa kepada penemuan barang bukti.

"Kami berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Apa yang boleh disimpulkan adalah Sosilawati sudah mati dan semua tertuduh adalah pelaku yang membawa kepada kematiannya dan tiga lagi," katanya.

Turut bersidang Datuk Seri Zakaria Sam.

Pada 25 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman mati terhadap keempat-empat tertuduh.

Mereka didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47, dan tiga yang lain iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 1:31 PM