NOR Mohamed (dua dari kiri) bersama Charon (dua dari kanan) melancarkan buku Laporan Keadaan Isi Rumah di sini, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Khazanah mencadangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan sebagai subsidi bersasar berbanding pemberian subsidi petrol hasil kajian daripada Laporan Keadaan Isi Rumah.

Pengarah Urusan Institut, Datuk Charon Mokhzani berkata, pemberian tunai bukanlah perkara baru dan turut diamalkan di beberapa negara termasuk Singapura, Norway, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Dalam konteks Malaysia, pemberian BR1M dilihat sebagai langkah berkesan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan ia dapat disampaikan kepada golongan bersasar dengan lebih baik.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan saluran pemberian yang lebih baik pada masa depan,” katanya selepas pelancaran Laporan Keadaan Isi Rumah di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Institut, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Dalam laporan berkenaan, pihaknya mendapati pada 2013 kurang daripada 23.8 peratus atau RM5.6 bilion daripada subsidi bahan api dinikmati isi rumah manakala, baki RM17.9 bilion mengalir kepada perniagaan dan syarikat korporat.

Manakala, kurang daripada 20 peratus (RM4 bilion) subsidi gas dinikmati isi rumah dengan baki RM16 bilion dinikmati perniagaan dan syarikat korporat.

“Secara purata, setiap isi rumah menerima subsidi tahunan RM625 untuk bekalan elektrik dan RM885 untuk bahan api 80 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Laporan berkenaan mencadangkan perubahan dalam sistem subsidi bahan api kerana ia mencipta gangguan dalam ekonomi.

“Harga bersubsidi tidak menunjukkan kos sebenar seterusnya menyebabkan kerugian dalam ekonomi. Peruntukan untuk subsidi sepatutnya disalurkan kepada sektor yang produktif atau projek pembangunan yang dapat membantu golongan sasar,” katanya.

Menurutnya, subsidi bahan api menggalakkan perlakuan jenayah melalui aktiviti penyeludupan di mana 10 peratus bahan api diseludup ke negara jiran yang bernilai hampir RM660 juta.

“Jenayah seumpama ini menyebabkan kerajaan berbelanja lebih untuk penguatkuasaan. Malah, dengan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia, ia secara tidak langsung menyebabkan berlakunya ‘pelancongan bahan api’ di mana pemilik kenderaan dari Thailand dan Singapura memilih mengisi petrol di Malaysia kerana perbezaan harga yang ketara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:05 AM