Nicol akan berdepan Omneya Abdel Kawy pada pertembungan empat terakhir. Foto fail NSTP

Kuala Lumpur: Laluan Ratu Skuasy Malaysia Datuk Nicol David untuk mengekalkan kejuaraannya buat kali ke-10 di Kejohanan Terbuka Hong Kong semakin hampir setelah beliau menewaskan Joelle King dari New Zealand dalam perlawanan suku akhir, hari ini.

Nicol pemain nombor tiga dunia, mengambil masa 30 minit untuk menundukkan Joelle dengan straight set 11-6, 11-4 dan 11-3.

Beliau akan bertemu Omneya Abdel Kawy pada perlawanan separuh akhir esok.

"Saya sungguh gembira dengan gaya permainan saya hari ini, saya bersedia menghadapi cabaran dari Joelle dan saya tahu saya perlu berhabis-habisan kerana saya tidak boleh memberi ruang kepadanya.

Saya menanti perlawanan separuh akhir esok. Saya tidak memikirkan rekod saya di sini, saya cuma menumpukan tentang apa yang perlu saya lakukan di gelanggang dan saya akan memberikan segalanya untuk melangkah ke final," kata Nicol di dalam laman sesawang kejohanan itu, https://psaworldtour.com/.

Omneya menempah tempatnya dalam empat terakhir selepas menewaskan pemain Perancis, Camille Serme straight set 11-9, 11-4, 11-6 sementara Raneem El Welily akan bertemu Laura Massaro dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Pemain nombor satu dunia, Raneem menewaskan pemain Amerika Syarikat Amanda Sobhy straight set 11-8, 11-5 dan 11-8, sementara Laura mengalahkan pemain Mesir Nouran Gohar dalam perlawanan sengit berkesudahan 11-5, 6-11, 11-8 dan 11-6. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 11:05 PM