AFP

Manchester: Cristiano Ronaldo mahu cuba menenggelamkan kehebatan Lionel Messi ketika kedua-dua pemain terhebat dunia itu berada di Old Trafford untuk mengharungi aksi persahabatan Portugal-Argentina, awal pagi esok.

Penyerang Real Madrid, Ronaldo dan penggempur Barcelona, Messi masing-masing mahu membuktikan kebolehan selaras dengan gelaran pemain terhebat dunia dan aksi awal pagi esok akan berlangsung di padang yang pernah menyaksikan kemampuan bintang Portugal itu.

Menambahkan lagi kehangatan pertemuan itu khabar angin mengenai kedua-dua pemain itu tidak mempunyai hubungan baik di luar padang.

Apa saja perkara peribadi antara mereka, kedua-duanya berhak ke atas beberapa trofi koleksi sejak sedekad lalu, dengan meraih pelbagai hadiah individu dan berpasukan.

Messi pernah menjulang Liga Juara-Juara tiga kali manakala Ronaldo dua kali. Bintang Argentina itu menang takhta La Liga enam kali manakala Ronaldo muncul juara Liga Perdana Inggeris tiga kali bersama Manchester United dan berjaya menjulang La Liga bersama Real pada musim pertamanya.

Kedua-duanya pemenang enam anugerah Ballon D’Or, dengan empat daripadanya dimiliki Messi dan dua Ronaldo.

Ronaldo berharap memenangi anugerah itu buat kali ketiga musim ini, tetapi ramai yang menganggap dia tidak mampu mengatasi Messi atau beberapa calon dari Jerman yang menjulang Piala Dunia tahun ini.

Ronaldo sudah meledak 18 gol La Liga setakat ini manakala Messi menyumbang tujuh, tetapi dia dinobat pemain terbaik kejohanan di Piala Dunia lalu.

Kehadiran Ronaldo di Old Trafford adalah yang kedua sejak meninggalkan United untuk menyertai Real pada 2009.

Pada Mac 2013, dia menjaringkan gol sekali gus menyingkirkan United pada saingan Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:06 AM