London: Kapten England Wayne Rooney berikrar tidak akan mengikut jejak bekas rakan sepasukan seperti Steven Gerrard dan Rio Ferdinand dengan bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Penyerang Manchester United berusia 29 tahun itu meraikan penampilan ke-100 bersama England dengan menjaringkan gol ketika pasukan Roy Hodgson bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Slovenia di gelanggang sendiri dalam kempen Euro 2016, Sabtu lalu.

Gerrard, Ferdinand, Frank Lampard dan Ashley Cole semuanya sudah bersara daripada tugasan England sejak 18 bulan lalu, tetapi Rooney menaruh harapan untuk mengikut jejak bekas kapten David Beckham dengan bermain selagi yang boleh.

Ditanya jika dia sedia menimbangkan kemungkinan bersara daripada bola sepak antarabangsa, Rooney berkata: “Tidak, saya tidak fikir begitu. Ramai pemain yang saya pernah bermain bersama sejak 10 tahun lalu - Steven, Frank, Ashley, Rio – sudah bersara (daripada aksi antarabangsa).

“Tapi, saya bercakap dengan isteri mengenai perkara ini. Saya berkata, ‘Gila jika melihat semua pemain bersara.’

“Apabila anda berada di peringkat umur tertentu, anda berasa perkara seperti itu mungkin terpaksa dilakukan bagi melanjutkan tempoh bermain di kelab.

“Tapi isteri saya (Coleen) sebenarnya bagus. Dia yang bercakap kepada saya, ‘Kerjaya bola sepak awak sebenarnya pendek. Awak akan mempunyai masa yang lama dengan kami apabila bersara nanti. Awak akan rugi jika melakukannya sekarang.’

“Saya fikir, ‘Betul juga apa yang diperkatakannya.

Bola sepak adalah apa yang saya suka lakukan. Saya suka bermain untuk England. Saya akan menyesal jika melakukannya (bersara) dan tidak akan melakukannya sekarang.”

Ketika Coleen, mempengaruhi pemikiran masa depannya terhadap bola sepak, Rooney berkata anak bongsunya, Klay, pula menyebabkannya terpaksa menilai semula bagaimana dia mula-mula menjadi pemain bola sepak.

Rooney yang kerap dianggap ‘pemain dengan kelebihan semula jadi’ berkata, melihat Klay yang berusia setahun menendang bola di padang meyakinkannya yang bakat seseorang itu sememangnya datang dari diri sendiri dan bukannya sesuatu yang boleh diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:06 AM