PENDUDUK Palestin melontar semula gas pemedih mata yang dilepaskan tentera Israel ketika pertempuran berhampiran penempatan haram Yahudi di Qadomem, berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat, semalam.
PENDUDUK Palestin melontar semula gas pemedih mata yang dilepaskan tentera Israel ketika pertempuran berhampiran penempatan haram Yahudi di Qadomem, berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat, semalam.
Agensi

Ramallah: Israel menahan 2,500 penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada mereka kanak-kanak sejak ketegangan semakin meruncing di situ dua bulan lalu.

Buat kali pertama, kepemimpinan tenteranya turut mengaku kes membabitkan penindasan tahanan Palestin juga semakin meningkat.

Wilayah itu yang dijajah Israel menyaksikan operasi serbuan, gerakan memburu dan penahanan meningkat pada skala besar oleh Israel dengan puluhan orang Palestin ditahan setiap hari.

Akhbar harian Israel,
Haaretz memetik seorang jeneral tenteranya sebagai berkata, sejak keganasan memuncak, kejadian memukul, mendera dan menyeksa tahanan Palestin oleh tentera Yahudi juga bertambah.

Akhbar itu melaporkan, ia mungkin disebabkan peningkatan askar yang dikerahkan ke Tebing Barat dan jumlah tahanan Palestin yang semakin ramai.

Amani Sarahna, dari Kelab Tahanan Palestin berkata, tentera Israel menahan lebih 1,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

“Israel sering menyeksa kanak-kanak Palestin dengan tujuan untuk menghapuskan generasi itu,” katanya.

Katanya, walaupun Israel sedar seksaan dilarang Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Penyeksaan, rejim itu secara sistematik menyeksa kanak-kanak Palestin secara fizikal serta psikologi untuk menakutkan mereka daripada menyertai perjuangan.

Katanya, pusat penahanan Israel, Etzion Detention Centre, antara lokasi utama kekejaman dilakukan terhadap tahanan yang kebanyakannya bawah umur.

“Golongan bawah umur Palestin dari Baitulmaqdis Timur dan Hebron menjadi mangsa di pusat tahanan itu. Mereka dikurung bersendirian untuk tempoh yang tidak diketahui,” katanya.

Katanya, Israel yakin jumlah tahanan yang ramai dan operasi waktu malam akan melemahkan semangat penduduk Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:01 AM