KRU dan pelakon yang menjayakan Kerja kahwin.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Filem mengenai budaya Melayu hampir pupus dalam sinema Malaysia, berbeza dengan filem budaya bangsa lain seperti Cina melalui The Journey yang mendapat sambutan hangat penonton.

Bunyinya memang pahit tapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan tatkala menyentuh filem budaya Melayu yang terus tenggelam ditelan genre aksi, seram dan drama cinta.

Namun, apabila muncul filem Kerja Kahwin arahan Anwardi Jamil, bagaikan timbul harapan baru sinema Melayu negara. Biarpun filem itu dihasilkan untuk skala kecil, Kerja Kahwin mempunyai misi dan visi yang sangat jelas.

Anwardi berkata, Kerja Kahwin yang bercorak komedi ringan adalah eksperimen dalam menerbitkan filem berbentuk ‘bajet mikro’. Filem itu juga berhasrat untuk mengetengahkan unsur kemelayuan melalui sinema.

“Sudah terlalu lama filem tempatan digolongkan sebagai filem Melayu. Malah filem Malaysia sudah mengambil bahagian dalam festival filem antarabangsa.

“Namun persoalannya, adakah yang dipertontonkan pada festival berkenaan filem Melayu atau filem Malaysia? Walaupun filem Melayu adalah filem Malaysia, terlalu jarang filem Malaysia dilabel filem Melayu,” katanya.

Anak seniwati terkenal, Datuk Rosnani Jamil dan Datuk Jamil Sulong ini berkata, filem itu tidak mungkin mendapat peluang ditayangkan di pawagam besar tapi bagi memastikan ia ditonton masyarakat, budaya wayang pacak dihidupkan semula dengan usahasama FELDA dan FINAS.

Langkah pertama sudahpun berjaya dan perjanjian dimeterai dengan FELDA membolehkan filem itu ditayangkan di kawasan penempatan FELDA seluruh negara bermula bulan ini.

Filem itu juga menarik minat Imagica Pinewood Studios yang menawarkan proses pengredan warna akhir (final colour grading) serta adunan audio langsung.

Malah, lagu runut juga adalah gubahan asli muzik Melayu tradisional yang menjadi landskap filem dan dimainkan secara langsung ketika babak dirakam.

“Selepas saya diperkenalkan dengan penerbit, kami merungut kerana filem Melayu setakat ini tiada ‘wajah’ Melayu. Jadi, saya fikir apa ‘subject matter’ boleh dibuat dengan bajet rendah.

“Kami bersetuju untuk pilih tema perkahwinan Melayu. Sedari ini, orang kahwin di dewan hotel dan ambil tempahan katering, jadi unsur perkahwinan Melayu sudah makin berkurangan,” katanya.

Anwardi akui mendapat inspirasi mengangkat tema itu selepas menonton filem Hindustan, Monsoon Wedding pada 2001.

Katanya, plot penceritaan memang mendatar tetapi ia dihidupkan dengan watak yang mudah dikenali serta dikaitkan dengan masyarakat Melayu.

“Saya harap penonton boleh faham dan terima jalan cerita yang tiada klimaks. Filem ini diharap mendapat tajaan tayangan seperti di universiti dan syarikat korporat.

“Sebab itulah konsep wayang pacak dihidupkan semula bagi mengembalikan nostalgia. Kami juga sudah mendapat pasaran di Amerika Selatan dan Asia Barat. Andai ada permintaan, tidak mustahil filem ini ditayangkan di pawagam,” katanya gembira.

Anwardi juga berharap FINAS dapat mewujudkan lingkaran baru dengan menayangkan filem tempatan ke lokasi mesra masyarakat luar bandar seperti dewan masyarakat, dewan majlis perbandaran atau padang awam.

Katanya, dengan cara ini ia mungkin mengubah persekitaran sinema Malaysia terhadap filem Melayu tempatan yang sentiasa berdepan pelbagai situasi.

“Agenda kami tahun depan untuk menghasilkan filem berkaitan budaya lagi. Ada beberapa idea antaranya nak hasilkan cerita mengenai kelahiran lagu Selamat Hari Raya ciptaan Tan Sri P Ramlee dan Datuk Jamil Sulong.

“Kami buat filem untuk promosi budaya Melayu dengan harapan orang luar dapat terima dan menontonnya secara terbuka,” katanya yang menolak hasrat menghasilkan filem berbajet besar.

Katanya, yang penting filem Melayu berjaya di luar kerana ia wajah bangsa, bukan sekadar filem Malaysia, namun tiada wajah Melayu di sebalik pembikinannya.

Filem Kerja Kahwin terbitan sulung Wayang Pondok Sdn Bhd mengisahkan Farah (lakonan Janna Nick) yang memenuhi syarat Mak Tok (Datuk Rosnani Jamil) untuk mengadakan perkahwinan cara tradisi di kampungnya, bukan di hotel mewah. Selain elemen budaya, Kerja Kahwin turut menyelitkan elemen komedi, cinta dan drama.

Pelakon lain menjayakan Kerja Kahwin ialah Shaharudin Tamby, AR Badul, Anne Abdullah, Shanie, Henzi Andalas, Syed Ali, Den Wahab, Aziz M Osman dan Mubarak Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:02 AM