GELAGAT peserta yang menunggu pelepasan.
DUA peserta membaiki tayar basikal yang bocor.
BEBERAPA peserta terpaksa menolak basikal akibat kehilangan tenaga.
KRU perlumbaan tidak ketinggalan bergambar bersama pelumba.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Dalam perlumbaan, biasanya kepantasan menjadi kayu ukuran. Namun bagi peminat sukan Mountain Bike (MTB), laju saja tidak mencukupi jika diri tidak cukup kental meredah laluan mencabar.

Justeru bagi ‘kaki’ MTB, nikmat berlumba ini terasa apabila terpaksa merentas laluan berliku selain meredah laluan lasak dengan jayanya sedangkan orang lain ada yang terpaksa menolak basikal.

Itu antara pengalaman berlumba dalam kejohanan Kajang MTB Jamboree 2015 di Padang Seri Jenaris, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Disertai 1,000 peserta, perlumbaan anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ini memberikan cabaran hebat menyebabkan ada yang ‘terkandas’ di pertengahan perlumbaan.

Biarpun cukup lasak tetapi kebanyakan peserta berpuas hati berikutan ia menjadi pengukur stamina dan prestasi mereka sendiri.

Cabaran dalam perlumbaan ini bermula pada tiga kilometer pertama lagi apabila semua peserta terpaksa mendaki bukit pertama dengan menolak basikal sebelum bermulanya cabaran ‘off road’ sebenar.

Bagi yang tidak biasa, cabaran memang terasa berat tetapi sesuai dengan namanya sebagai perlumbaan basikal lasak, ia antara trek terbaik untuk menguji keupayaan diri seseorang pelumba.

Buktinya, biarpun berusia 53 tahun, pelumba kategori Veteran, Amran Mohd Roji berjaya mencabar keupayaan diri apabila meraih tempat ketiga.

Menurut Amran, pada awal perlumbaan cabaran cukup terasa kerana perlu meredah bukit menyebabkan dia turut menolak basikal.

Katanya, atas desakan tidak mahu mengalah cabaran berkenaan dapat dihadapinya dengan tenang hingga akhirnya menamatkan perlumbaan.

“Pada awalnya memang rasa nak mengalah. Sebabnya selepas halangan pertama, cabaran lasak memang betul-betul bermula. Terpaksa mendaki beberapa bukit lagi selain menuruni laluan berliku.

“Namun, saya tanamkan pada diri ini baru betul-betul perlumbaan lasak dan medan ujian bagi membuktikan kemampuan diri. Alhamdulillah, saya dapat mencabar diri sendiri dan berjaya menamatkan perlumbaan,” katanya.

Peserta kategori Junior, Alif Mukhriz, 16, dari team Exitway Mercury berkata, cabaran cukup hebat kerana selain bersaing dengan pelumba lain, dia terpaksa bersaing dengan alam sekitar yang mencabar.

Biarpun mengakui sewaktu berlumba dia hampir pitam, Alif yang berjaya menamatkan perlumbaan mengakui perlumbaan itu antara pengalaman hebat untuk membuktikan kekuatan dirinya.

“Paling membanggakan, ini kali kedua saya dapat tempat kesembilan dalam kejohanan lasak yang sangat mencabar dan ia jadi penanda aras kemampuan saya.

“Akhirnya saya berjaya memecahkan kedudukan saya yang kebiasaannya pada kedudukan 10 ke atas,” katanya.

Peserta kategori Terbuka Wanita, Zanatinuli Rahmat, 34, berkata, trek berkenaan sememangnya tepat dengan identiti sukan MTB yang terkenal dengan kelasakan.

Katanya, biarpun dia juga terpaksa menolak basikal bersama peserta lain, kejayaan memperoleh tempat ketiga memberikan kenangan manis buat dirinya.

“Saya meminati sukan MTB sejak dulu lagi dan sebagai pelumba, lebih mencabar itu lebih baik buat saya.

“Pada satu-satu tahap, kita nak tahu di mana kemampuan kita dan ternyata dalam perlumbaan ini saya tahu saya mampu mengatasi cabaran seperti ini dan tahu bagaimana untuk berkayuh sehingga tamat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKj Mohd Sayuthi Bakar berkata, kejohanan berkenaan bagi memupuk gaya hidup sihat selain memperkenalkan trek berkenaan sebagai lokasi sukan basikal lasak.

Katanya, trek yang ditempuh peserta sejauh 35 kilometer berada dalam kawasan hutan simpan dan diwartakan untuk aktiviti lasak.

“Trek ini merangkumi kombinasi laluan berbukit dan kebun getah yang merentas sungai. Laluan ini memang lasak dan ia sebagai medan untuk sesiapa saja menguji keupayaan fizikal dan mental mereka,” katanya.

Menurut Mohd Sayuthi, selain hadiah wang tunai, goodie bag, kemeja-T dan medal, turut diadakan cabutan bertuah sebagai program tambahan bagi menyemarakkan perlumbaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:02 AM