KEADAAN di tempat kejadian menyebabkan tiga terbunuh. FOTO ihsan Bomba
Oleh Shahrulnizam Mohamad dan Nazirul Roselan


Temerloh: Tiga wanita termasuk dua beranak terbunuh dalam kemalangan membabitkan Proton Wira dan Toyota Avanza di Kilometer 22 Jalan Temerloh-Jerantut, Kampung Tekal, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu kereta Proton Wira dinaiki tujuh orang termasuk empat kanak-kanak bertembung dengan Toyota Avanza dinaiki lima orang bersama tiga kanak-kanak.

Ketua Balai Bomba Temerloh, Hashnuddin Hussin berkata, ketika kejadian kereta Proton Wira itu dalam perjalanan dari Temerloh ke Jengka manakala Toyota Avanza dari arah Jerantut ke Temerloh.

"Ketika tiba di tempat kejadian di jalan berselekoh, kereta Proton Wira itu dipercayai hilang kawalan lalu bertembung Toyota Avanza dari arah bertentangan.

"Kejadian itu menyebabkan dua penumpang kereta Proton Wira iaitu Maimunah Mohd Sidek, 62, dan anaknya, Ilyana Abd Kadir, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang depan Toyota Avanza turut terbunuh," katanya.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, untuk bedah siasat.

"Mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 9:33 PM