RAMSEY ledak gol ketiga Arsenal.

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger mengakui lega selepas pasukannya menamatkan rentetan tiga aksi tanpa menang dalam Liga Perdana apabila mengatasi Sunderland 3-1 di Stadium Emirates.

Kemenangan kelmarin satu persiapan ideal bagi aksi genting Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini dengan kunjungan ke Olympiakos, yang mana Arsenal mesti menang dengan jaringan lebih daripada 1-0 atau 2-1 jika mahu layak ke pusingan kedua.

Selepas November yang mengecewakan, apabila berdepan keputusan buruk selain kecederaan menimpa Alexis Sanchez, Santi Cazorla dan Francis Coquelin, Wenger berharap ia menjadi titik tolak kebangkitan mereka.

“Saya lebih gementar berbanding biasa kerana saya sedar ia amat penting bagi menyemarakkan semula musim kami,” kata pengendali Perancis itu. “Saya sedar Sunderland amat bagus menerusi serangan balas pantas.

“Kami menghasilkan tiga keputusan mengecewakan dan saya fikir amat penting bagi kami hari ini kerana hakikatnya kami tidak menang dan disebabkan kami hilang beberapa pemain utama.

“Ia tidak sempurna tapi pasukan ini mempamerkan kekuatan mental kerana kami menjaringkan gol sendiri sebelum rehat, tapi kami bangkit untuk menang.”

Arsenal mendahului menerusi gol Joel Campbell pada minit ke-33, namun gol sendiri Olivier Giroud membantu Sunderland menyamakan kedudukan.

Penyerang Gunners itu menebus kesilapannya dengan tandukan yang menerjah jaring lawan pada babak kedua sebelum Aaron Ramsey melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:07 AM