PTP belanja RM300 juta beli peralatan dan kemudahan baru pada tahun ini.
PTP belanja RM300 juta beli peralatan dan kemudahan baru pada tahun ini.
Oleh Nabil Basaruddin

Gelang Patah: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), anak syarikat MMC Corporation Bhd, bakal mengalami transformasi secara berperingkat menerusi pelan pembangunan baru yang akan dilaksanakan menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Glen Hilton berkata, perancangan baru itu adalah bagi memenuhi permintaan dan penawaran perkhidmatan PTP sebagai pelabuhan pemindahan barang kontena daripada syarikat gergasi dari seluruh dunia.

Beliau berkata, seiring dengan pelan transformasi itu, PTP yang kini beroperasi dengan kapasiti pengendalian kontena sebanyak 10.5 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) itu yakin apabila Fasa 3A siap sepenuhnya menjelang tahun 2018, kapasitinya mampu ditingkatkan menjadi 15 juta TEU daripada 8.3 juta TEU yang direkodkan setakat November ini.

“Malah, kita juga turut menjangka untuk mencapai sehingga 75 juta TEU pada masa depan.

“Selain itu, sejajar dengan peningkatan industri pindah kapal khususnya di rantau ASEAN, kami yakin untuk menjadi pelabuhan strategik, bersepadu dan cemerlang dalam kalangan pemain utama pelabuhan dunia,” katanya kepada rombongan media di sini.

Projek Fasa 3A pembangunan PTP merangkumi pembinaan tiga dermaga baru sepanjang 1.5 kilometer dan sebuah daripadanya disasarkan dapat beroperasi menjelang 2018.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan membelanjakan sebanyak RM5 bilion bagi projek pengembangan Fasa 3A PTP bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan.

Sementara itu, Hilton berkata, PTP turut memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM500 juta pada tahun depan bagi membeli peralatan baru dan mengubah suai kemudahan di pelabuhan yang beroperasi sejak 15 tahun itu.

“Kita akan mengawal selia dan menggunakan modal itu bagi membeli kepala lori, kren gantri beroda getah (RTG) dan kren utama bagi kendalian pemindahan kontena.

“Pada tahun ini sahaja, PTP menyaksikan perbelanjaan sebanyak RM300 juta untuk membeli peralatan dan kemudahan baru termasuklah 26 kren RTG selain 174 kren RTG yang sedia ada,” katanya sambil menambah kos bagi setiap kren ialah AS$10 juta (RM42.39 juta).

PTP, yang disenaraikan sebagai pelabuhan ke-18 terbaik dunia, adalah pesaing utama kepada Pelabuhan Singapura yang ketika ini berada di kedudukan kedua dalam senarai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 6:56 AM