SESI pembelajaran dan pengajaran profesional akan diberikan sepanjang tempoh pengajian.
Oleh Mohd Hafizan Mohd Rajab


Kolej Perubatan Antarabangsa Subang Jaya (IMC) menawarkan biasiswa kepada pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian Diploma Kejururawatan selama tiga tahun.

Program itu akan mendedahkan pelajar mengenai ilmu dan dunia sebenar bidang perubatan bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pelajar yang ingin mengikuti program itu perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan iaitu mendapat lima kredit dalam subjek Sains, Bahasa Malaysia, Matematik dan dua subjek lain.

Selain itu, pelajar perlu mematuhi beberapa syarat utama berdasarkan merit akademik, kedudukan kewangan, latar sosioekonomi selain aktif dalan bidang kokurikulum.

Tidak hanya menampung yuran pembelajaran, biasiswa yang ditawarkan juga termasuk pembiayaan kelas tambahan dan pelajar boleh mendaftar di bawah Malaysian Nursing Board serta berpeluang mendapat pekerjaan dengan hospital berdaftar.

Biasiswa itu diberikan bagi membuka peluang kepada mereka yang berminat menyambung pelajaran dalam bidang kejururawatan, sekali gus menghasilkan generasi pelapis dalam industri perubatan berikutan negara memerlukan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang itu untuk jangka panjang.

Pengambilan pelajar dibuat bagi sesi pembelajaran Mei dan September di kampus Subang Jaya serta Januari dan Julai bagi kampus IMC Melaka.

Graduan Diploma Kejururawatan IMC turut berpeluang menjalani latihan amali di pusat perubatan luar negara bagi menimba ilmu, sekali gus membuka peluang kepada mereka mengembangkan kemahiran di peringkat antarabangsa.

Layari laman web www.imc.edu.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 10:21 AM