Sultan Sharafuddin mahu penyokong kedua dua pasukan pamer semangat kesukanan tinggi. Foto fail NSTP

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan tahniah kepada pemain pasukan bola sepak Selangor yang mara ke final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam pada 12 Disember ini, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata baginda juga menitahkan supaya penyokong dan rakyat Selangor terus memberi sokongan kepada skuad Gergasi Merah dalam tekad untuk menjulang kembali Piala Malaysia setelah 10 tahun terlepas peluang daripada memenangi kejohanan berprestij itu.

"Kerajaan negeri menggesa supaya para penyokong kedua-dua pasukan, Selangor dan Kedah yang hadir di perlawanan akhir nanti akan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa melunturkan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

"Kerajaan negeri turut menegaskan supaya kedua-dua pihak dapat menjamin keselamatan dan memupuk perpaduan dalam kalangan penonton dan penyokong di Stadium Shah Alam dalam perlawanan akhir Piala Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Juara 32 kali Piala Malaysia itu melakar kejutan selepas menundukkan juara bertahan, Pahang menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi untuk mara menerusi keputusan agregat 2-0.

Sementara Kedah yang membuat penampilan final Piala Malaysia kali ke-11, menang tipis 2-1 ke atas Felda United pada satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi, sekali gus mara menerusi keputusan agregat 4-3.

Pertemuan antara skuad Gergasi Merah dan skuad Hijau Kuning mengulangi sejarah pertemuan kedua-dua pasukan itu pada 2008 yang menyaksikan Kedah muncul juara Piala Malaysia selepas menang tipis 3-2 ke atas Selangor. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:40 PM