Zalman Aefendy (tengah) bersama kakitangannya dengan pakej Xpac FiRST.
Zalifah Mohd Yatim


Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad komited meningkatkan jumlah pelanggan sedia ada menerusi tawaran istimewa sepanjang Disember hingga Februari 2016.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, Celcom memperuntukkan RM1 juta bagi mengedarkan tiket wayang kepada pelanggannya.

Katanya, pemberian ganjaran bernilai RM1 juta berupa tiket wayang itu ditawarkan pada 4 Disember 2015 hingga 6 Januari 2016 bagi pelanggan yang melanggan sebarang pelan Internet mudah alih Xpax atau mendaftar mana-mana pelan FiRST dan pembelian Max Up.

“Pelanggan boleh mendapatkan tiket percuma di 60 panggung wayang Golden Screen Cinemas dan MBO di seluruh negara apabila mereka membeli mana-mana pelan Internet kami.

“Bermula 7 hingga 31 Januari 2016 dan 1 sehingga 29 Februari 2016, ganjaran seterusnya bermula iaitu Celcom memperuntukkan jumlah sama sepanjang tempoh itu,” katanya pada majlis pengumuman ganjaran RM1 juta Celcom di sini, semalam.

Menurutnya, tawaran berkenaan ialah inisiatif Celcom menghargai pelanggan setia dan pelanggan baru.

Zalman berkata, bagi unjuran masa depan, Celcom berhasrat untuk terus menghargai dan memberi tawaran berbaloi kepada pelanggan setianya.

“Kami menyasarkan meningkatkan asas pelanggan sebanyak 30 peratus sepanjang tempoh program ganjaran,” katanya sambil menambah setakat akhir Ogos lalu, pelanggan Celcom adalah 12.51 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 6:57 AM