MOHAMMAD Effendy bersama Chairil dan Razali menunjukkan produk Java Tea.
MOHAMMAD Effendy bersama Chairil dan Razali menunjukkan produk Java Tea.
MOHAMMAD Effendy menunjukkan pokok misai kucing yang ditanam di bawah panel solar.
MOHAMMAD Effendy menunjukkan pokok misai kucing yang ditanam di bawah panel solar.
MOHAMMAD Effendy (tengah) bersama Chairil (kanan) dan Razali meninjau projek panel solar di Ladang Agro-PV UPM.
MOHAMMAD Effendy (tengah) bersama Chairil (kanan) dan Razali meninjau projek panel solar di Ladang Agro-PV UPM.
Oleh Mohamad Hussin


Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Solar System & Power Sdn Bhd (SSPSB) membangunkan teknologi solar fotovoltaik (PV) yang menggunakan sepenuhnya sumber tenaga matahari untuk menjana tenaga elektrik bagi penanaman herba lestari.

Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan (KPM) dan Pusat Penyelidikan Kuasa dan Tenaga Maju (CAPER) universiti itu memberi fokus kepada operasi Ladang Agro-PV seluas tiga hektar bersebelahan Hutan Simpan Puchong, Selangor.

Ketua Unit Pembangunan dan Penyelenggaraan Fakulti Kejuruteraan UPM Dr Mohammad Effendy Yaacob berkata, PV adalah teknologi paling pesat berkembang di dunia di bawah skop tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, ia mempunyai ciri unik yang boleh direka bentuk dan dipasang pada pelbagai skala untuk rumah kediaman sehingga ladang solar berskala besar ke grid utiliti yang membekalkan kuasa bagi pengguna domestik.

“Ladang Agro-PV UPM beroperasi Februari lalu selepas tujuh minggu pemasangan di tapak dengan peruntukan kuota FiT (Feed-in-Tariff) pada nilai 88 sen kilowatt sejam (kWh).

“Ladang ini akan menjadi mekanisme pemangkin untuk anjakan penyelidikan di UPM terutama dalam bidang integrasi agro-PV bagi memanfaatkan sepenuhnya sumber tenaga matahari yang bebas diperoleh,” katanya selepas majlis perasmian Ladang Agro-PV UPM dan Produk Java Tea-PV di Puchong, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Madius Tangau. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila, Pengerusi SSPSB Datuk Chairil Nazri dan Pengarah Urusan SSPSB Razali Osman.

Sementara itu, Mohammad Effendy berkata, Java Tea-PV adalah produk makanan kesihatan tambahan melalui kaedah penanaman secara terus di bawah panel solar.

“Khasiat Java Tea atau lebih dikenali sebagai herba misai kucing digunakan secara tradisi untuk membantu merawat penyakit kronik seperti barah, kencing manis, tekanan darah tinggi, gangguan peredaran darah, gout, sakit sendi dan masalah buah pinggang.

“Kajian fisiologi peringkat awal mendapati saiz pertumbuhan herba misai kucing di bawah panel solar PV terutama bahagian daun, pucuk dan misai tiga kali ganda besar dan sihat selain tempoh matang yang lebih cepat berbanding penanaman secara normal,” katanya.

Menurutnya, kerjasama penyelidikan itu secara dasarnya bertujuan memberi landasan kepada pihak industri dan penyelidik UPM bertukar-tukar fikiran ke arah mempertingkatkan kemajuan bidang pertanian dan tenaga elektrik negara.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Mohammad Effendy melalui [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:23 AM