Oleh Nabihah Kamal


Sungai Buloh: Dua lagi ahli ‘Geng Dugong’ termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan dalam serbuan di Kampung Melayu Batu 13, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 17 tahun dan 20 tahun, dipercayai baki dari kumpulan peragut yang aktif mereka di sekitar Kuala Selangor dan Sungai Buloh sejak 2014.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Rozi Jidin berkata, kumpulan penjenayah itu juga terbabit dalam kes dadah selain aktif melakukan samun dan jenayah jalanan.

"Mereka menjadikan wanita sebagai mangsa dengan meragut beg tangan dan jika mangsa melawan, suspek mengheretnya hingga mengakibatkan kecederaan.

"Kumpulan ini dianggotai sembilan lelaki dan polis daerah Kuala Selangor serta Sungai Buloh sudah berjaya menahan tujuh anggotanya.

“Kami sedang giat memburu dua lagi suspek termasuk ketua kumpulan ini.” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, pagi tadi.

Menurutnya, sebelum ini, kumpulan terbabit pernah menyamun sebuah rumah dan mencabul seorang mangsa yang juga doktor di Kuala Selangor tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 5:38 PM
Topi keledar yang digunakan Geng Dugong ketika meragut. - Foto NABIHAH KAMAL