Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melalui pelbagai program yang dijalankan di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera berjaya menghasilkan nilai ekonomi mencecah RM60 bilion setakat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh berkata, pihaknya memainkan peranan memudahcara, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera selaras dengan pendekatan program yang dijalankan.

“Pelbagai aspek dapat dikenal pasti termasuk penyediaan peluang perniagaan, pembiayaan, pembangunan modal insan, pelaburan swasta dan penciptaan nilai melebihi RM60 bilion,” katanya dalam taklimat Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2015, di sini, semalam.

Laporan tahunan setebal 48 muka surat itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Menurutnya, antara pencapaian inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri dan dilaksanakan sehingga kini adalah nilai pelaburan swasta Bumiputera.

“Ia merangkumi Dana Mudahcara sebanyak RM10.2 bilion dan nilai pasaran bagi syarikat yang menyertai Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) berjumlah RM3.6 bilion sehingga Ogos lalu.

“Selain itu, ia turut membabitkan sebanyak RM36.06 bilion nilai penciptaan peluang perniagaan di bawah projek Carve Out and Compete, Program Vendor (RM6 bilion) dan RM164.4 juta bagi pelupusan nilai aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya.

Menurutnya, isu perumahan turut diberi perhatian di mana selain PR1MA, ia turut membabitkan kediaman yang ditawarkan UDA Holdings Berhad (UDA) dengan jumlah 20,149 unit dan 1,087 unit ruang niaga disediakan untuk Bumiputera tahun ini.

“Selain UDA dan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga dipertanggungjawabkan dalam memastikan pemilikan hartanah bagi Bumiputera melalui beberapa projek perumahan yang dijalankan,” katanya.

Husni berkata, menurut Laporan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bagi Pencapaian 2015 itu, ia turut menyenaraikan pelbagai dana perniagaan yang dikendalikan agensi berlainan berjumlah hampir RM3.8 bilion.

“Selain dana perniagaan, Institusi Wakaf turut diperkenalkan untuk memperkukuh pegangan aset bukan kewangan Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 7:10 AM