AKSI Leicester musim ini begitu meyakinkan.

Sir Alex Ferguson tahu sedikit sebanyak mengenai pengalaman menjuarai Liga Perdana Inggeris dan percaya Leicester City mampu menjulang trofi berkenaan pada Mei depan sekiranya mereka mengukuhkan skuad pada Januari.

Bekas pengurus Manchester United itu tidak menolak peluang Foxes namun mengakui perjalanan akan lebih mencabar buat Claudio Ranieri.

Bekas jurulatih kelahiran Scotland itu yang membawa masuk Eric Cantona, Andy Cole, Ruud van Nistel­rooy dan Wayne Rooney mengetuai jentera serangan di Old Trafford, turut memuji Jamie Vardy yang menurutnya tidak berputus asa.

“Ini adalah pasukan dengan tenaga, kepantasan dan tenaga yang menakjubkan,” kata Ferguson.

“Tidak syak lagi, Leicester adalah pasukan terbaik liga ketika ini. Namun persoalannya, berapa lama ia boleh bertahan? Adakah mereka mempunyai sumber mencukupi untuk terus mengharungi musim ini?

“Pada 1992-93 ketika kami menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama, Norwich mendahului seluruh musim sehingga pertengahan Mac.

“Namun kami menewaskan mereka di laman sendiri dan akhirnya menjuarai liga.

“Bagi sebuah kelab kecil, seperti Leicester City, mereka berdepan cabaran. Sejauh mana mereka mampu pergi dengan skuad sedia ada, mampukah mereka bertahan seluruh musim?”

Menjulang gelaran itu Stamford Bridge pasti­nya satu kisah dongeng buat pengurus Itali itu namun Ferguson percaya Ranieri perlu meyakinkan lembaga pengarah untuk menambah pemain pada Januari.

“Apa yang dikatakan pengurus Claudio Ranieri kepada pemilik kelab? Apa pandangannya berhubung isu menambah anggota skuad?” kata Ferguson.

“Jika saya menjadi beliau, saya mahukan pelaburan dibuat pada Januari kerana ia peluang keemasan. Mereka mampu menjuarai liga dengan cara mereka bermain sekarang serta jumlah gol yang berjaya dikumpul.

“Adakah mereka mempunyai wang? Saya fikir mereka memilikinya. Adakah pemilik percayakan jurulatih mereka? Beliau perlu memilih pemain dan dengan menambah beberapa pemain, beliau mempunyai banyak pilihan.

“Pada ketika ini beliau boleh memilih pasukan sama kerana mempunyai skuad yang terhad dan beraksi dengan baik. Namun jika dia mahu menjuarai liga saya fikir beliau perlu menambah pemain dan saya berpendapat peluang mereka cerah.”

Selain menambah anggota skuad, Ranieri berdepan cabaran mempertahankan bintang terbaik mereka seperti Vardy, pemain yang turut dikagumi Ferguson.

“Vardy seorang yang agresif, pantas, bertenaga dan mampu menjaringkan gol. Dia sudah membuktikannya,” kata pemilik 13 gelaran Liga Perdana Inggeris.

“Dia mempunyai aset yang bersesuaian dengan gaya bola sepak moden, khususnya untuk kelab seperti Leicester City. Darren (anak Ferguson) berminat mendapatkannya untuk Peterborough tetapi disambar Leicester.

“Vardy adalah contoh terbaik seseorang yang tidak menyerah kalah dan sentiasa yakin kepada diri sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 1:34 PM