Karim (lima dari kiri) beramah mesra bersama penerima sijil, semalam.
Karim (lima dari kiri) beramah mesra bersama penerima sijil, semalam.

Kuala Lumpur: GRC Consulting Services (GRCCS) dan Institut Business Continuity (BCI) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) menganugerahkan sijil BCI (CBCI) kepada 30 peserta program pensijilan itu pada majlis graduasi sulungnya di negara ini.

Pengerusi GRCCS, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, CBCI adalah program inklusif merangkumi peningkatan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan pekerja di samping mengukuhkan nilai tadbir urus dalam melaksanakan segmen Pengurusan Perniagaan Berterusan (BCM).

Beliau berkata, BCM adalah faktor penting bagi tadbir urus lebih cemerlang dan dalam perkara berkenaan tumpuan yang lebih akan diberi serta diluaskan untuk menguruskan operasi organisasi yang kritikal seperti tindakan kecemasan (ER), Pengurusan Krisis dan Perniagaan Berterusan dari semasa ke semasa.

“Kita berharap pada masa depan lebih banyak syarikat senaraian awam dan korporat untuk bersama-sama terbabit untuk mempunyai CBCI kerana ia bukan sahaja membantu melicinkan pengurusan organisasi malah berupaya melonjak prestasi seseorang pekerja.

“Berdasarkan kepada permintaan semasa yang begitu baik ketika ini, kita yakin akan mempunyai sehingga 200 peserta program CBCI pada tahun depan dengan sasaran 100 syarikat senaraian awam di negara ini,” katanya dalam sidang media majlis graduasi pertama CBCI di sini, semalam.

Katanya, semua peserta program CBCI terbabit terdiri daripada pelbagai syarikat antaranya Bursa Malaysia, Maybank, Sime Darby, UMW, AEON, Measat, Berjaya Group, Boustead, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysia Airlines (MAS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 7:00 AM