PIERRE (kiri)  dan Vuitton bersama produk pertama, Cool Tea hasil kolaborasi dengan Dydo.
PIERRE (kiri) dan Vuitton bersama produk pertama, Cool Tea hasil kolaborasi dengan Dydo.

MAMEE-Double Decker (M) Sdn Bhd (MAMEE) terus mengorak langkah dalam mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran apabila bekerjasama dengan pengeluar minuman tanpa alkohol terkemuka Jepun, Dydo Drinco Inc (Dydo).

Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Beverage, Pierre Pang Hee Ta berkata, kepakaran Dydo dalam mengendalikan lebih 300,000 mesin layan diri di seluruh Jepun akan menjadi pencetus inovasi pengguna di Malaysia.

Menurutnya, Dydo bersetuju untuk bergabung dengan Mamee bagi mengembangkan pasaran bukan sahaja di Malaysia, malah akan bersama-sama menembusi pasaran halal di seluruh Asia Tenggara.

“Apa yang memikat Dydo untuk bekerjasama dengan kita adalah kerana produk dikeluarkan Mamee mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan seperti yang diketahui pensijilan halal JAKIM diperakui serta dihormati negara lain.

“Dydo mempunyai banyak produk inovatif yang akan menarik perhatian di pasaran Malaysia. Mereka sudah berada di pasaran Jepun lebih 40 tahun, banyak hasil kajian dan pembangunan produk mereka yang boleh kita pelajari dan guna pakai dalam penghasilan produk baru nanti,” katanya.

Pierre berkata, segmen minuman mempunyai potensi besar di dalam pasaran sekarang kerana setakat ini, segmen minuman hanya menyumbangkan sekitar 10 peratus kepada keseluruhan operasi kumpulan dan syarikat yakin kerjasama dengan DyDo akan melonjakkan permintaan serta jualan.

Sementara itu, Pengarah Dydo-Mamee Distribution, Vuitton Pang Hee Cheah berkata, melalui kerjasama itu, Mamee akan memperkenalkan mesin layan diri Dydo ke Malaysia yang bakal mula beroperasi sepenuhnya tahun depan.

“Sebagai permulaan, kami akan mulakan dengan produk yang sedia dan secara berperingkat memperkenalkan produk baru.

“Setakat ini, lokasi seperti institusi pengajian, hospital dan hab pengangkutan awam mempunyai potensi besar memperkenalkan DyDo,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 7:05 AM