Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak bersama Khairy Jamaluddin melancarkan Unit Dana Bumiputera Pemuda UMNO, semalam.

Kuala Lumpur: “Cukup-cukuplah UMNO menjadi kelab eksklusif. UMNO kena kembali jadi khemah yang besar untuk kita kembali kuat,” kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika menyampaikan ucapan dasarnya, ‘Idealisme Perjuangan’ pada persidangan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

“Bukan semua, tetapi masih terdengar rungutan bahawa UMNO ini terlalu eksklusif dan tidak membuka pintu secara luas dan ikhlas kepada semua orang Melayu membabitkan pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada parti.

“Contohnya, golongan bandar profesional dan bercakap dalam bahasa Inggeris dipandang serong.

“Profesor yang hendak menyumbang kepada UMNO, kalau sedikit kritikal, disisih dan dikatakan terlalu banyak teori, justeru, disuruh duduk saja di menara gading. Anak muda bergaya hipster, bermisai Wak Doyok dikecam poyo. Tok Lebai berjanggut enam inci dengan jubah dan serban ditolak kerana mesti orang PAS,” katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu mencari titik tengah dalam menyatukan perbezaan pandangan orang lain yang berbeza daripada aliran utama dalam parti itu.

“Kita mendokong wasatiyyah, namun kalau kita sendiri singkirkan orang Melayu sebab rupa dan pandangan mereka yang berbeza, kita akan menjadi kelompok yang semakin kecil dan lemah.

“UMNO ketika ditubuhkan ibarat khemah yang cukup besar, menjadi pohon rendang tempat berteduh bagi orang Melayu pelbagai latar belakang. Baik bangsawan atau kebanyakan, guru, ilmuwan mahupun agamawan, miskin dan kaya, orang bandar juga desa, kerani dan petani, askar atau jaga, semuanya diwakili dan dipayungi,” katanya.

Menurutnya, majoriti orang Melayu merasakan kedatangan mereka dirai UMNO serta parti itu sajalah memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air serta membela rakyat.

Namun, katanya, hari ini sokongan itu mula terhakis sebab UMNO bukan lagi khemah besar seperti dulu untuk orang Melayu termasuk golongan profesional dan berfikiran progresif.

Beliau berkata, Pemuda bukan meminta diambil ahli baru dalam kalangan orang yang jelas menentang UMNO dan perjuangannya.

“Parti politik mesti ada disiplinnya, tetapi selagi mereka berpegang pada perjuangan agama, bangsa dan tanah air dan hormat pada tataetika parti, mengapa pula tiada ruang untuk mereka?” katanya.

Menurutnya, pergerakan itu memberi tumpuan kepada tiga inisiatif kerja utama pada tahun depan iaitu memperluaskan skop Konvensyen Dana Bumiputera kepada Gerakan Merakyatkan Institusi Kewangan, memperjuangkan isu latihan vokasional dan teknikal serta melancarkan program Jom Belajar Coding.

Katanya, kepedulian Pemuda terhadap nasib anak muda tidak terhad kepada usaha menjauhkan mereka daripada gejala sosial, sebaliknya lebih utama memperjuangkan kesejahteraan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:41 AM