KABIN Jepun menghadap bukit memberikan suasana mendamaikan seperti di negara matahari terbit itu.
KABIN Jepun menghadap bukit memberikan suasana mendamaikan seperti di negara matahari terbit itu.
SUASANA di dalam kabin mengikut susunan rumah di Jepun yang mengujakan.
SUASANA di dalam kabin mengikut susunan rumah di Jepun yang mengujakan.
DERETAN kabin berwarna-warni dengan corak menarik di T-Box@Sungai Lembing membolehkan tetamu menikmati keindahan alam semula jadi.
DERETAN kabin berwarna-warni dengan corak menarik di [email protected] Lembing membolehkan tetamu menikmati keindahan alam semula jadi.
SUASANA mendamaikan di T-Box@Sungai Lembing.
SUASANA mendamaikan di [email protected] Lembing.
PENGINAPAN jenis kotej yang luas dan selesa sesuai bagi pengunjung yang datang bersama keluarga.
PENGINAPAN jenis kotej yang luas dan selesa sesuai bagi pengunjung yang datang bersama keluarga.
KABIN berwarna-warni dengan corak menarik di T-Box@Sungai Lembing menjadi tarikan pengunjung.
KABIN berwarna-warni dengan corak menarik di [email protected] Lembing menjadi tarikan pengunjung.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Bagi yang menggemari lokasi percutian dengan suasana nyaman dan mendamaikan serta jauh dari kesibukan kota, menginap di bilik penginapan Resort [email protected] Lembing (T-Box), Pahang, mungkin pilihan tepat.

T-Box memiliki keistimewaan tersendiri dan anda pasti teruja apabila melihat deretan kabin comel pelbagai corak berwarna-warni bagaikan koc kereta api mainan kanak-kanak di atas bukit berhampiran kawasan peninggalan lombong bijih besi terkenal suatu ketika dahulu.

Pengurus T-Box Jasmine Thien berkata, idea memperkenalkan bilik penginapan menggunakan kabin atau kontena adalah untuk mencari kelainan berbanding rumah rehat atau hotel sedia ada.

“Sungai Lembing ada sejarahnya tersendiri dan bagi memastikan pelancong pulang dengan ‘buah tangan’ istimewa untuk dikongsi bersama keluarga dan rakan, saya tampilkan konsep menginap dalam kabin,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, idea itu timbul selepas melihat konsep ‘bathing-box’ yang berwarna-warni dibina di pantai Brighton, Melbourne, Australia.

“Pantai di Brighton terkenal kerana ‘bathing-box’nya yang memiliki warna berbeza, tetapi semuanya mempunyai ukuran sama untuk memberi peluang kepada pengunjung pantai merakam gambar dan berehat di situ.

“Saya ambil konsep itu dan menggunakan kabin untuk dijadikan bilik penginapan dan ternyata ia berjaya menarik minat pelancong menginap di sini,” katanya.

Katanya, pengunjung boleh memilih kabin idaman daripada tiga jenis bilik penginapan disediakan dengan setiap satunya mempunyai ciri berbeza antara satu sama lain tetapi masih menggunakan kabin sebagai struktur utama pembinaannya.

Memulakan operasi pada 1 Mei 2014 dengan lapan kabin sahaja dan tambahan lima kabin pada Disember 2014, Jasmine menambah enam kabin ala kediaman Jepun pada Februari lalu manakala enam unit kotej mula menerima tetamu, Julai lalu.

Menurutnya, sebanyak 13 unit kabin berwarna-warni dengan pelbagai corak rekaan bercirikan fantasi kanak-kanak pastinya menjadi tarikan utama pengunjung ‘menapak’ lebih jauh untuk mendapat kabin pilihan.

Susun atur bahagian dalamnya serba ringkas, tetapi selesa pasti memikat tetamu dan terasa seperti ‘melekat’ dan sayang untuk meninggalkan bilik penginapan itu yang disewa pada kadar RM250 untuk penginapan hari biasa manakala RM290 ketika musim cuti persekolahan dan perayaan.

Biarpun dari luar tampak seperti kabin biasa yang dilihat ‘kecil dan sempit’, tetamu pasti tidak menyangka ia boleh memuatkan dua katil bertingkat masing-masing tilam kelamin di bahagian bawah dan dua tilam bujang di atas.

Menurut Jasmine, setiap kabin boleh memuatkan lapan orang pada satu-satu masa manakala tandas serta bilik persalinan disediakan di ruang berasingan di bahagian luar.

Katanya, semua kabin diserikan dengan pelbagai warna dan lukisan menarik di bahagian luar dinding dan setiap satu mempunyai nama tersendiri dalam bahasa Inggeris iaitu Smiley Face, Spider Web, Moo, Christmas Box, Candy, Cloudy, Diamond, Frozen’, Sea World, Lolipop, Rainbow, Sea Angle dan Jungle Booth.

Jasmine yang sentiasa mencari idea memperkenalkan T-Box kepada orang ramai turut menawarkan enam unit kabin Jepun dengan setiap unit mengandungi satu katil dua tingkat dengan bahagian bawah untuk tilam kelamin dan dua tilam bujang di atas.

“Setiap unit boleh memuatkan antara empat hingga enam orang dengan sewa RM220 pada hari biasa dan RM260 pada musim cuti persekolahan.

“Pengunjung boleh meminta tilam tambahan pada harga RM15 untuk setiap unit disewa,” katanya.

Istimewanya, kabin Jepun mempunyai ruang tamu dengan tatami atau tikar lembut (diperbuat daripada campuran daun kelapa, buluh dan jerami padi dan diimport dari China), bilik mandi dengan pancuran mandian air panas.

Menurutnya, satu set meja makan duduk ala Jepun dengan empat kerusi comel diletakkan di bahagian tengah ruang tamu manakala dindingnya pula dilatari lukisan berbentuk kaligrafi dalam bahasa Jepun berwarna hitam.

“Saya mahu tetamu yang menginap di bilik ini merasai suasana kediaman di Jepun kerana ia sebahagian daripada hasrat saya membina rumah penginapan ala negara matahari terbit itu,” katanya.

Katanya, kabin Jepun sengaja dibina menghadap bukit yang menghijau bagi memberi peluang kepada penghuni melihat keindahan semula jadi dari atas bukit.

“Sebaik pintu dibuka pada sebelah pagi, tetamu dapat merasai suasana dingin sambil melihat bukit diliputi kabus dan apabila matahari muncul kabus akan menghilang dan keadaan kembali seperti sedia kala,” katanya.

Menurutnya, setiap kabin biasa dan kabin Jepun yang berhawa dingin turut disediakan dispensar air panas/sejuk, peti sejuk mini, penyidai pakaian, penyangkut baju, cermin dan tuala.

“Bagi dua jenis penginapan ini, kami tidak menyediakan televisyen dan WiFi kerana masa yang terluang sebaiknya digunakan untuk beramah mesra bersama rakan atau ahli keluarga,” katanya.

T-Box turut menawarkan penginapan berbentuk kotej atau lebih dikenali sebagai ‘Wooden Cottage’ (bahagian dalamnya diperbuat daripada kayu) yang dibina di atas bukit kecil, tetapi masih dapat melihat pemandangan khazanah alam semula jadi menarik.

Setiap kotej mempunyai katil bujang dua tingkat, katil kelamin dan katil sofa yang boleh memuatkan enam orang, ruang dapur mini (peti sejuk, ketuhar gelombang mikro dan dapur elektrik), televisyen, bilik mandi yang turut disediakan tab mandi, balkoni dan loteng dengan sewa RM400 dan RM450 untuk satu malam pada musim cuti.

Katanya, T-Box juga menyediakan dua kabin lelaki (hijau) dan perempuan (kuning) dengan bayaran RM40 satu malam dan boleh memuatkan enam orang pada satu masa khusus untuk pelancong yang datang bersendirian .

“Sama seperti kabin biasa, penghuni ‘dorm’ ini turut menggunakan kemudahan bilik air di bahagian luar,” katanya.

Jasmine berkata, hampir RM1 juta dibelanjakan hanya untuk menyiapkan 27 bilik penginapan berkenaan.

“Demi kepuasan pelanggan, kami tidak boleh ‘kedekut’ untuk melabur kerana ia keperluan dalam tempoh jangka panjang, sekali gus meningkatkan industri pelancongan negara.

“Sungai Lembing pekan yang penuh dengan kisah silamnya dan pasti tetamu tidak mahu melepaskan peluang melawat tempat bersejarah selain menyaksikan pemandangan khazanah alam semula jadinya yang masih dipenuhi hutan menghijau,” katanya.

Menurutnya, bagi memberi kepuasan kepada pelancong terutama dari luar negara, pihaknya menyediakan beberapa pakej lawatan dengan dikenakan bayaran mengikut destinasi pilihan yang hendak dilawati.

Antaranya, lawatan ke Muzium Sungai Lembing, Terowong Sungai Lembing, Bukit Panorama, Air Terjun Pelangi dengan bayaran berpatutan dan kakitangan resort disediakan untuk membawa pelancong ke tempat yang ingin dilawati.

Menurutnya, T-Box turut menyediakan kemudahan beriadah dengan menyediakan basikal empat tempat duduk untuk tetamu resort dengan sewa RM15 satu jam dan dua tempat duduk dengan bayaran RM8 selama sejam.

Bagi orang luar yang hendak menyewa dikenakan bayaran RM20 untuk basikal empat tempat duduk dan RM10 untuk dua tempat duduk bagi tempoh sama.

“Kami juga menyediakan basikal dan ia yang pertama diperkenalkan di Sungai Lembing bagi membolehkan pelancong beriadah di sekitar pekan ini,” katanya.

Selain itu, lima kenderaan ‘All Terrain Vehicle’ (ATV) turut disediakan selain dua tapak barbeku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:59 AM