Sikap pengotor warga asing membuang sampah merata-rata serta perbuatan meludah air sirih terutama oleh pendatang Myanmar menjejaskan imej sekitar Jalan Silang. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ambil tindakan tegas terhadap sikap tidak bertanggungjawab warga asing dan tempatan yang membuang sampah serta meludah di tempat awam, menerusi operasi 'Anti Kotor'.

Dari Januari hingga 31 Oktober tahun ini, DBKL mengeluarkan 1,030 notis kompaun berjumlah RM87,100 bagi kesalahan membuang sampah dan 1,247 notis kompaun bagi kesalahan meludah di tempat awam berjumlah RM61,750.

Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata sikap sebegitu oleh warga asing dan segelintir warga tempatan boleh merosakkan imej ibu kota dalam usaha mencapai status bandar bersih dan ceria.

"Berbanding warga asing, hanya segelintir warga tempatan melakukan perbuatan meludah dan membuang sampah merata-rata.

Seperti di Jalan Silang, warga asing di sini yang gemar mengunyah daun sirih akan meludah sesuka hati di atas jalan dan kesan kotoran berwarna kemerahan itu sukar untuk dibersihkan," katanya pada Majlis Penghargaan Bersama Agensi Sempena Hari Penguatkuasa ke-46, di sini hari ini.

Mohd Najib berkata DBKL akan terus meningkatkan operasi 'Anti Kotor' di semua kawasan di ibu kota sekurang-kurangnya enam kali seminggu khususnya di Jalan Silang dan Jalan Sultan Mohamed, di sini.

Menurutnya, kesalahan bagi membuang sampah akan dikenakan kompaun sebanyak RM50 manakala kesalahan meludah RM100. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:07 PM