SENQ buka cawangan ke-27 di pusat beli-belah Aman Central, semalam.
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Senheng Electric (KL) Sdn Bhd (Senheng) menawarkan 1,000 unit produk terpilih dengan harga hanya RM10 sempena pembukaan cawangan Stesen Digital SenQ (senQ) ke-27 di pusat beli-belah Aman Central, di sini, semalam.

Pengarah Urusannya, Lim Keng Heng berkata, tawaran selama sehari itu diberikan kepada pengguna sejurus selepas majlis pembukaannya dilancarkan jam 10.30 pagi oleh kira-kira 11 wakil rakan kongsi dari lebih 10 syarikat jenama barangan yang dijual di Senheng dan senQ.

Katanya, selain tawaran harga rendah, pengguna juga diberikan baucar tunai bernilai RM50 apabila menunjukkan kad keahlian PlusOne mereka.

“Cawangan baru ini bukan saja menawarkan pelbagai jenis barangan elektrik dan elektronik, malah pelanggan diberi kemudahan menguji peralatan bagi menjamin kualiti.

“Selain itu, pengguna juga ditawarkan pengalaman membeli-belah secara interaktif dalam suasana selesa, selain kami menyediakan khidmat jurujual yang mesra dalam membantu atau melayani mana-mana keperluan pengguna.

“Kita gembira kerana berupaya membuka cawangan baru di sebuah pusat beli-belah yang menjadi mercu tanda bagi bandar raya Alor Setar ini dan berharap kemudahan disediakan dapat dinikmati penduduk negeri ini,” katanya sambil menambah ketika ini, Senheng memiliki 127 cawangan di seluruh negara..

Lim berkata, sempena pembukaan itu, senQ turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus ke atas beberapa barangan elektrik terpilih.

“Atas keprihatinan kami terhadap pelanggan, kami juga menawarkan beberapa kaedah pembayaran pelan ansuran seperti faedah ansuran selama 36 bulan yang diperkenalkan bagi pemegang kad Citibank, CIMB, Hong Leong, Public Bank dan RHB.

“Sebagai rangkaian pengedar elektrik utama di negara ini, adalah perlu untuk kami merancang perkhidmatan lebih mesra dan terancang kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 6:48 AM