AIMAN menunjukkan buku yang dihasilkan, #Henshin From Jahiliah To Jannah.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Sesi temu ramah yang diatur di ruang pejabat milik pengasas dan Pengarah Urusan Inspirasee International Sdn Bhd Mujahid Aiman Rumawi, 19, cukup memberikan inspirasi kepada penulis.

Mana tidaknya pada usia masih muda, Mujahid Aiman atau lebih dikenali sebagai Aiman Banna mempunyai tiga syarikat sendiri dalam bidang penerbitan, produksi dan perundingan.

Bukan itu saja, dia juga penulis buku terlaris berjudul #Henshin From Jahiliah To Jannah yang sudah diulang cetak enam kali dengan 45,000 naskhah terjual setakat ini.

Malah dia tanpa segan silu memberitahu sudah mendirikan rumah tangga pada Mei 2015 lalu dan langsung tidak bimbang bergelar suami pada usia muda kerana ada keberkatannya di situ.

“Sekiranya kita hidup dalam jangkaan manusia kita akan menderita sebaliknya jika hidup dalam jangkaan Allah kita akan bahagia.” Itu jawapannya sambil tersenyum ketika ditanya rahsia kejayaannya mencipta nama sebagai usahawan muda.

Ringkas, namun cukup bermakna. Bagi Aiman, kata-kata ini amat bererti dan menjadi pegangan sejak dulu dan kini. Malah dia turut menganggap kejayaan yang dikecapinya kini berkat perkahwinan yang baru mencecah enam bulan. Walaupun pada awalnya keputusan mendirikan rumah tangga mendapat tentangan ibu bapa, namun kerana kesungguhan Aiman, akhirnya mereka menerimanya dan memberikan sokongan sepenuhnya.

“Pada saya, pernikahan itu tidak perlu dirumitkan sebaliknya ia perlu dipermudahkan dan ibu bapa perlu memberi sokongan. Saya percaya rezeki daripada perkahwinan ini akan menjadi lebih berkat. Malah atas niat yang murni ini, saya langsung tidak menggunakan duit ibu bapa untuk berkahwin sebaliknya menggunakan wang simpanan sendiri.

“Malah saya kini menanggung sepenuhnya kehidupan kami suami isteri, malah pada masa sama saya berpeluang memberi wang kepada ibu bapa,” katanya.

Mula terkenal menerusi blog

Menceritakan bagaimana bergelar penulis, bekas penuntut Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang ini mengakui, ia bermula pada September 2014 selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia membina blog inchekopiah.blogspot.com sekadar mengisi masa terluang.

Topik yang sering dipaparkan berkaitan isu semasa. Penulisannya pula berbentuk santai, menggunakan bahasa mudah dengan menampilkan genre motivasi dan dakwah ringan berjaya menarik golongan remaja dan muda mengikutinya. Tidak hairan dalam tempoh kurang setahun blognya berjaya mengumpul ramai pengikut dan mula tersebar menerusi media sosial.

“Oleh kerana belajar di banyak negeri, jadi saya mahir dalam pelbagai loghat bahasa. Gaya penulisan ini saya gunakan sehingga pembaca berasa dekat dengan hati mereka. Hasilnya dalam tempoh setahun, pengikut Twitter saya kini mencecah 70,000 dan 37,000 di Instagram. Lebih mengejutkan apabila idea menulis buku hadir tanpa diminta.

“Saya terus menulis dan akhirnya berjaya menyiapkan buku pertama berjudul #Henshin From Jahiliah To Jannah. Tidak sangka dalam masa sebulan buku #Henshin berjaya terjual 25,000 naskhah. Semuanya berlaku dengan cepat tanpa dirancang dan saya menganggap apa yang dikecapi ini kerana ketentuan Allah,” katanya yang memilih perkataan Jepun #Henshin bermaksud berubah atau mengajak orang muda berhijrah daripada kemungkaran ke arah kebaikan.

Pada awalnya #Henshin hanya dicetak 3,000 naskhah saja, namun pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) April lalu, bukunya habis dijual menyebabkan ia terpaksa diulang cetak.

Jelas Aiman, dia bersyukur kerana mendapat kepercayaan rakan yang juga pendakwah dan pakar motivasi muda Adnin Roslan bagi membiayai sepenuhnya percetakan buku.

“Saya bersyukur kerana Adnin percaya dengan bakat saya. Setakat ini, buku #Henshin From Jahiliah To Jannah sudah enam kali diulang cetak dan saya tidak sangka sambutan terhadap buku ini terus meningkat sehingga ke hari ini,” katanya.

Tidak hirau cakap orang

Aiman mengakui apa yang dilakukan adalah percaya dengan dirinya sendiri dan tidak menghiraukan penilaian dan cakap-cakap orang mengenai usaha yang sudah dibuat. Dia percaya kepada Allah dan lebih utama ingin membuktikan walaupun tanpa pengalaman dalam bidang penulisan dan tidak pernah mendapat A dalam peperiksaan di sekolah, Aiman mampu menghasilkan sesuatu yang dapat memberi nilai kepada orang lain.

“Memang ada kata-kata negatif. Itu lumrah, namun saya tidak melayan cakap-cakap negatif kerana ia tidak membantu. Pada saya setiap manusia dijadikan sama, apa yang membezakannya adalah usaha dan semangat yang tinggi. Saya percaya dengan ketentuan Allah dan berusaha sehingga berjaya. Inilah yang membezakan seseorang individu dengan individu iaitu menerusi tindakan dan bukan hanya pandai berkata-kata saja.

“Saya turut menyangkal kata-kata yang menyatakan orang muda tidak boleh berjaya, itu tidak betul dan kita perlu ubah persepsi itu dengan memberikan peluang dan ruang,” katanya.

Tegasnya, matlamatnya cuma satu ingin menjadi Daiepreneur atau tokoh dalam bisnes. Pada masa sama, dia ingin membuktikan anak muda boleh beranjak ke satu paradigma baru dalam perniagaan. Memulakan perniagaan pada usia muda, menulis buku dan menjadi penceramah di sekolah, masjid dan universiti bukanlah semata-mata ingin nampak hebat, tetapi ingin menunjukkan seseorang yang berdisiplin serta mengikuti gaya kehidupan Islam sebenar, mereka akan berjaya.

Mengakui dia juga sama seperti remaja lain yang pernah melakukan kesilapan, namun Aiman cepat sedar serta merubah kehidupan dan pandangan selepas menyertai tarbiah dan usrah suatu ketika dulu. Dari situ dia mula mempelajari sesuatu mengenai Allah dan cara hidup Islam. Lama-kelamaan kehidupan menjadi lebih baik dan dia sentiasa berpegang kepada jalan Allah selain melakukannya untuk mencari reda Allah.

“Menerusi usrah dan tarbiah, saya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah, menjaga amalan wajib dan sunat serta berpuasa. Banyakkan solat Dhuha dan berinfak di jalan Allah,” katanya.

Anak kepada pasangan ahli perniagaan, Rumawi Kasolan dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam, Muliati Aba Ibrahim ini meletakkan sasaran untuk menjadi jutawan menjelang usia 20 tahun. Baginya tiada yang mustahil seandainya sudah menetapkan impian dan berusaha ke arah itu.

Dalam setiap sesi ceramah di universiti, Aiman menggelarkan dirinya sebagai ‘Daietrepreneur’ iaitu pendakwah usahawan dan dia mahu membetulkan persepsi salah masyarakat terhadap potensi orang muda.

“Ini kerana golongan muda selalu dianggap golongan mentah kerana kurang pengalaman, namun masyarakat perlu tahu orang muda berpotensi besar jika dididik dengan betul,” katanya.

Menjadikan pemikir Islam, Imam Hassan al-Banna sebagai idolanya, kini Aiman berjaya menerbitkan buku kedua berjudul Coklat Tarbiah yang sudah menemui pembaca baru-baru ini. Malah dia dalam perancangan bekerjasama dengan rakannya untuk buku berjudul #Infiru - perkataan dalam bahasa Arab bermaksud Berangkatlah dan dalam proses menyiapkannya.

Selain penulisan, syarikat Inspirasee International Sdn Bhd menyediakan seminar dan kursus jangka pendek untuk anak muda menceburi bidang penulisan, penerbitan buku serta video korporat dan kerja berkaitan dengan dakwah. Dia juga sedang mengalih bahasa buku #Henshin ke bahasa Inggeris kerana ingin memasarkannya secara lebih meluas ke luar negara.

Selain bergelar pengarah urusan syarikat, pendakwah dan penulis buku Aiman kini meneruskan pengajian dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Antarabangsa Al-Madinah yang mempunyai cawangan di Shah Alam, Selangor.

Dengan jadual harian yang sangat padat sebagai suami, Aiman merancang melancong secara beg galas atau ‘backpacking’ bersama isteri tercinta ke Eropah pada hujung bulan ini. Selain itu, Aiman gemar berenang bagi mendapat stamina dan kecergasan bagi membolehkannya meneruskan aktiviti harian di pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 11:48 AM